Beza Elon Musk dengan jutawan cap ayam di Malaysia
SIAPA tidak kenal Elon Musk. Dia ialah manusia terkaya di dunia.
Dia juga ada sikap gila-gila. Tapi sikap itulah yang membolehkannya menjadi peneraju teknologi dunia ketika ini menerusi syarikat-syarikat miliknya.
Sebut sahaja Tesla, SpaceX dan Twitter. Itu semua Elon Musk yang punya. Pun begitu, bagi sesetengah orang, kombinasi wang yang banyak dan sikap gila-gila ini bukanlah sesuatu yang baik kerana kadangkala ia lebih banyak membawa kemudaratan berbanding kebaikan.
Sebagai contoh, ada golongan usahawan bergelar jutawan di negara ini yang hobinya suka membuat perkara yang pelik-pelik sehingga mengundang reaksi kurang senang orang ramai.
Ia sekali gus menjadi punca perbalahan dalam kalangan netizen. Si empunya badan pula mulalah bersikap kononnya menjadi mangsa keadaan.
Bagi Merak Jalanan, semua ini tidak baik kerana ia memberi kesan kepada kesihatan mental.
Teringat Merak Jalanan akan perbualan dengan Budin, jiran setaman mengenai perangai jutawan-jutawan selebriti yang lapar perhatian di media sosial.
Katanya, sesetengah jutawan selebriti ini tidak menunjukkan moral, sikap dan teladan yang baik kepada masyarakat di negara ini.
Merak Jalanan enggan memanjangkan perbualan dan meminta Budin bersangka baik sahaja kerana mungkin produk mereka susah nak laku kerana kuasa pengguna menurun susulan inflasi, maka mereka terpaksa menjadi 'kreatif' menjana pendapatan melalui platform media sosial.
Apa pun, bukan semua usahawan bergelar jutawan ini perangainya tidak elok, serabut dan menyakitkan hati.
Ramai lagi individu yang boleh dijadikan inspirasi seperti tauke tudung, pakaian dan juga sambal.
Sebut pasal sambal teringat pula selebriti masakan, Khairul Aming, bolehlah Merak Jalanan beli untuk juadah berbuka puasa nanti.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!