Apam beras, empat biji hanya RM1

Hasnan meniaga apam beras di pasar malam dan bazar Ramadan sejak 10 tahun lalu.
Hasnan meniaga apam beras di pasar malam dan bazar Ramadan sejak 10 tahun lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Di saat peniaga berpusu-pusu menjual kuih dengan harga 60 sen sebiji, namun masih ada yang mengamalkan konsep ‘berniaga sambil bersedekah’ dengan menawarkan empat biji apam beras dengan hanya RM1.

Lebih mengejutkan, harga semurah itu bukan dijual di ceruk kampung sebaliknya di tengah-tengah bandar Kuala Lumpur.

Peniaga apam beras berkenaan, Hasnan Mohd Tahir, 49, berkata, harga itu dikekalkan sejak 10 tahun lalu meskipun bergelut dengan kenaikan harga barang di pasaran.

Menurutnya, walaupun dijual murah namun hasil yang diperoleh dengan berniaga di bazar Ramadan UTC Sentul itu masih menguntungkan dan disifatkan balik modal.

“Modal sehari kira-kira RM250 untuk bahan utama tepung gandum dan bahan sampingan lain.

“Setiap hari sebanyak 2,000 biji apam dibuat dan kebiasaannya habis terjual,” katanya pada Khamis.

Mengulas lanjut, proses pembuatan kuih tersebut disediakan oleh isteri serta dibantu anaknya dan sebanyak 15 kilogram tepung gandum diadun setiap hari bagi menyiapkan 2,000 biji apam beras.

“Kerja membuat kuih biasanya akan dimulakan seawal jam 7 pagi hingga 2 petang sebelum saya mula berniaga di bazar jam 4 petang,” katanya.

Ditanya kemungkinan menaikkan harga tersebut, beliau berkata, pihaknya akan cuba mengekalkan harga tersebut selagi ia membawa pulangan walaupun peratusan keuntungan tidak sebesar dahulu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!