Skuad hoki remaja asah taring di Australia
SKUAD hoki remaja negara akan mengasah taring di Perth, Australia sebagai persiapan menghadapi Sukan SEA Kemboja bulan depan.
Jurulatihnya, Muhammad Amin Rahim memberitahu, skuad muda negara itu akan mengharungi enam perlawanan dengan kelab di negara tersebut.
“Mereka dijangka berangkat pada Selasa dengan membawa 20 pemain untuk menyahut cabaran siri Jelajah Australia kali ini," katanya.
Beliau berkata, bagi mengharungi Sukan SEA fokus latihan menjurus kepada taktikal dan membaiki beberapa kelemahan yang dikenalpasti semasa Liga Hoki Malaysia yang lalu.
“Beberapa kelemahan itu kita akan perbetulkan. Ia bukan sahaja untuk persiapan Sukan SEA, malah untuk Piala Remaja Asia,” katanya.
Menurut Muhammad Amin, corak latihan pada bulan Ramadan ini turut berubah sesuai selain memahami ia merupakan kali pertama buat skuad remaja itu berlatih dengan cabaran berpuasa.
“Latihan tetap perlu diteruskan. Kita faham suasana berpuasa pemain remaja tiada pengalaman berlatih pada waktu siang. Cuma kita kawal daripada segi intensiti. Intensiti penuh kita buat waktu malam.
“Pada waktu malam para pemain mula berlatih pada jam 9.30 hingga 11 malam. Latihan dibahagikan kepada aktiviti di gimnasium dan corak latihan lebih spesifik dalam kumpulan kecil yang memberi tumpuan kepada teknik dan kemahiran,” katanya.
Beliau menambah, setakat ini kekuatan pasukan adalah seramai 39 pemain termasuk empat muka baharu dan jumlah itu akan dikurangkan kepada 30.
“Sejumlah 30 pemain ini akan dikekalkan sehingga Piala Sultan Johor (SOJC) Oktober depan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!