Taring Harimau Selatan

Arif Aiman (tengah) meraikan jaringan bersama pemain JDT ketika menentang Sabah FC pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Jumaat. - Foto Bernama (Gambar kecil: Richard)
Arif Aiman (tengah) meraikan jaringan bersama pemain JDT ketika menentang Sabah FC pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Jumaat. - Foto Bernama (Gambar kecil: Richard)
A
A
A

JUMLAH jaringan besar yang dihasilkan Johor Darul Ta'zim (JDT) mencecah 25 gol daripada enam perlawanan Liga Super musim ini membuktikan skuad Harimau Selatan itu sebagai sebuah pasukan yang begitu 'garang'.

Pemerhati bola sepak tanah air, Datuk Richard Scully menganggap skuad bimbingan Esteban Solari itu sebagai serba lengkap dan mantap sekali gus sukar digugat dalam perebutan gelaran Liga Super.

Katanya, mereka mempunyai pemain berkualiti di semua posisi selain berpengalaman beraksi di pentas tertinggi iaitu Liga Juara-Juara Asia (ACL)

“Realitinya JDT memang mantap. Tidak boleh dinafikan antara pasukan terbaik di Asia. Mereka mempunyai pemain berkualiti dan mantap di semua posisi,” katanya kepada Sukan Sinar pada Ahad.

Pemain import dari Argentina, Fernando Forestieri menjadi penjaring terbanyak JDT dengan enam gol, diikuti Arif Aiman Hanafi dan Juan Muniz yang berkongsi empat jaringan.

Dua lagi pemain import, Endrick Dos Santos dan Diogo Luis Santo masing-masing berkongsi tiga jaringan, pemain pertahanan, La'vere Corbin Ong (dua gol) manakala, Bergson da Silva dan Syahmi Safari dengan satu jaringan.

Satu lagi jaringan diperoleh hasil gol sendiri Romel Morales ketika skuad Harimau Selatan menewaskan Kuala Lumpur City FC 3-0 pada 1 Mac lalu. JDT hanya bolos satu gol iaitu ketika menewaskan Kelantan FC 5-1 pada 11 Mac dengan gol saguhati pasukan lawan dihasilkan menerusi sepakan penalti Leonardo Rolon.

Menurut Richard, biarpun di atas kertas kedudukan JDT di puncak liga sukar digugat, namun dalam bola sepak sebarang kemungkinan boleh berlaku.

“Saingan Liga Super masih awal. Secara matematik JDT susah digugat, tetapi perlu diingat apa pun boleh berlaku. Mungkin seperti layangan kad merah (JDT kurang seorang pemain), keletihan, kesilapan mereka sendiri atau prestasi merosot,” katanya.

Justeru beliau meminta agar semua pasukan yang akan menentang skuad Harimau Selatan untuk tidak berasa gentar, sebaliknya bermain seperti biasa dan nikmati perlawanan dengan corak permainan sendiri.

“Para pemain lawan perlu all-out mengikut strategi dan taktikal jurulatih masing-masing. Fikir positif. Seri satu keputusan yang bagus dan kalau menang, bonus.

“Kalah, jadikan ia sebagai pengajaran berguna. Dapat belajar sesuatu daripada JDT, jangan takut. Ia pengalaman berharga buat pasukan dan para pemain,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!