Jemaah umrah terkandas di Mekah, tak mampu bayar bil rawatan

Keadaan Kamis di hospital di Mekah yang dikongsikan oleh anaknya di Facebook.
Keadaan Kamis di hospital di Mekah yang dikongsikan oleh anaknya di Facebook.
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang jemaah umrah yang mengalami sesak nafas sehari sebelum berangkat pulang ke Malaysia masih ditahan di Hospital Al Shefa Syarif Mansour di Mekah ekoran masih belum melunaskan bil rawatan sepenuhnya.

Menurut perkongsian anaknya, Muhammad Amirul Haziq, bapanya, Kamis Ahmad dimasukkan ke hospital pada 13 Mac lalu dan terpaksa ditidurkan selama lapan hari.

Dia berkata, bapanya kemudian telah sedar pada 22 Mac 2023 dan kembali stabil, tetapi masih bergantung dengan bantuan oksigen.

“Kesihatan ayah semakin hari bertambah baik cumanya pergerakan tangan dan kaki sangatlah terbatas. Ayah masih perlukan seseorang untuk bantu dia menguruskan diri.

“Pada 27 Mac 2023, doktor telah mengesahkan ayah telah stabil dan tidak memerlukan lagi alat bantuan oksigen dan dibenarkan untuk discaj dan pulang pada bila-bila masa,” katanya di Facebook pada Ahad.

Bagaimanapun ujar Muhammad Amirul, bapanya masih terkandas di hospital berkenaan sehingga hari ini berikutan pihak insurans masih belum membayar dan menyelesaikan bil sepenuhnya.

Tambahnya, bapanya ada mengambil plan insurans tambahan daripada pihak Al Khairi Care yang membolehkan rawatan ditanggung sepenuhnya sehingga 15,000 Saudi Riyal (SAR).

“Pada 28 Mac 2023, pihak hospital telah memberi kami satu salinan bil rawatan ayah daripada hari pertama sehingga 27 Mac 2023 berjumlah SAR127,250. Jumlah ini telah melebihi had yang ditanggung oleh Al Khairi Care,” kongsinya.

Menurut Muhammad Amirul, ketika ini syarikat agensi pelancongan masih lagi berusaha untuk berurusan dengan pihak hospital dan insurans untuk mendapatkan kelulusan penuh bagi menampung perbelanjaan rawatan tersebut.

Bagaimanapun jelasnya, mereka sekeluarga terpaksa mencari cara lain sebagai persediaan awal sekiranya bil hospital tidak boleh diselesaikan menggunakan insurans.

“Sehingga setakat ini, bil hospital ayah yang perlu kami bayar adalah sebanyak SAR127,250. Pihak Al Khairi Care akan bayar sebanyak SAR15,000.

"Jadi bakinya SAR112,250 perlu dilunaskan sendiri oleh waris. Anggaran nilai tersebut kepada Ringgit Malaysia (RM) ialah RM136,945. Baki akhir ini tidak termasuk lagi bil ayah di wad biasa pada 28 Mac 2023 hingga ke hari ini.

"Oleh itu, mohon jasa baik tuan/puan bagi meringankan bebanan kami sekeluarga dalam menyelesaikan kos rawatan supaya ayah dapat segera pulang untuk mendapatkan rawatan selanjutnya di Malaysia," katanya.

Sehubungan itu, orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan menerusi nombor akaun bank Maybank 154035503088 atas nama Jaliah Yusop atau hubungi talian 013-7255212 untuk maklumat lanjut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!