Utamakan pekerja tempatan

Anwar (tengah) menyampaikan ucapan pada Majlis Perhimpunan Bulanan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Dewan De' Seri Endon, Puspanitapuri pada Isnin. Turut sama kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (kiri) dan Datuk Seri Fadillah Yusof. - Foto Bernama
Anwar (tengah) menyampaikan ucapan pada Majlis Perhimpunan Bulanan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Dewan De' Seri Endon, Puspanitapuri pada Isnin. Turut sama kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (kiri) dan Datuk Seri Fadillah Yusof. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Malaysia mengalu-alukan beberapa syarikat pelaburan terkemuka China untuk menjadikan negara ini sebagai hub serantau.

Walau bagaimanapun, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan syarikat berkenaan perlu mengutama pekerja tempatan yang berkelayakan.

"Saya telah mengusulkan perkara tersebut dan mereka sambut baik," katanya dalam ucapan Perhimpunan Bulanan Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri pada Isnin.

Menurutnya, sekiranya dikenal pasti tidak mempunyai tenaga pekerja yang mencukupi, baharulah kerajaan akan meluluskan dengan segera.

"Dengan syarat syarikat berkenaan perlu membuktikan ada usaha mengambil anak-anak tempatan kerana ia merupakan pelaburan puluhan bilion seperti minyak dan gas, farmaseutikal selain Geely-Proton," katanya.

Beliau berkata, syarikat tempatan iaitu Proton Holdings Bhd (PROTON) di bawah Tan Sri Syed Mokhtar Syed Nor Albukhary dipersetujui akan mengadakan program latihan khusus untuk melahirkan pekerja tempatan yang berkelayakan dengan unjuran sehingga dua tahun.

Langkah tersebut diambil sebelum kerajaan membuka ruang kepada pegawai profesional dari China sekiranya tiada pekerja tempatan yang layak.

Anwar berkata, dasar itu mengambil kira pengalaman negara dalam pelaksanaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Twin City di Kuantan, Pahang.

"Kadang- kadang pekerja China yang datang tadi keseluruhannya dari negara dia.

"Dari semua bidang tukang gunting sehingga restoran semua dari dia (China)," katanya.

Ujar Anwar, China telah menerima syarat tersebut dan hubungan yang lebih akrab serta rakan dagang diplomasi itu perlu diteruskan.

Menerusi lawatan rasmi Anwar ke China selama empat hari bermula pada Rabu lalu, Malaysia meraih komitmen pelaburan tertinggi iaitu bernilai RM170 bilion.

Jumlah itu yang terbesar setakat ini dari China adalah hasil daripada 19 Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai antara perniagaan di China dan Malaysia dalam pelbagai bidang terutamanya teknologi hijau dan ekonomi digital.

China telah menjadi rakan dagangan terbesar Malaysia sejak 2009. Pada 2022, jumlah perdagangan dua hala bernilai RM487.13 bilion (US$110.62 bilion), meningkat 15.6 peratus daripada 2021.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!