Dua lelaki gagal seludup minyak masak peket masa tarawih

Tindakan dua lelaki untuk menyeludup 595 kg minyak masak peket semasa umat Islam sedang bertarawih gagal selepas diserbu anggota penguat kuasa di Kampung Telaga Bata, Tumpat pada Ahad.
Tindakan dua lelaki untuk menyeludup 595 kg minyak masak peket semasa umat Islam sedang bertarawih gagal selepas diserbu anggota penguat kuasa di Kampung Telaga Bata, Tumpat pada Ahad.
A
A
A

TUMPAT - Tindakan dua lelaki untuk menyeludup 595 kilogram (kg) minyak masak peket semasa umat Islam sedang bertarawih gagal selepas diserbu anggota penguat kuasa di Kampung Telaga Bata di sini pada Ahad.

Dalam serbuan jam 9 malam itu, kedua-dua suspek bertindak meninggalkan kereta jenis Proton Saga BLM yang sarat dengan barangan kawalan terbabit selepas menyedari kehadiran anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan serta Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga, Pengkalan Kubor Tumpat

Pengarah KPDN, Azman Ismail berkata, bertindak atas maklumat risikan anggota bertugas telah mengekori sebuah kereta yang disyaki mengangkut minyak masak peket dari arah Kota Bharu menghala ke Tumpat.

"Menyedari diekori, pemandu kenderaan terbabit kemudian memecut kenderaannya memasuki bulatan Pasir Pekan menghala ke Cabang Empat Tok Mek Ngah.

"Setiba di Kampung Telaga Bata, kereta terbabit telah masuk ke laluan di tepi tali air dan kemudian terbabas serta tersangkut dalam semak," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Menurut beliau, dua lelaki kemudian telah bertindak keluar dari kereta dan melarikan diri ke kawasan semak berhampiran serta gagal dikesan.

Ujarnya, pemeriksaan lanjut di dalam kereta berkenaan telah menemui muatan minyak masak peket bersubsidi seberat 595 kg di dalam kereta terbabit.

Azman memberitahu, nilai rampasan keseluruhan termasuk kereta dianggarkan berjumlah RM11,487.50 dan kes akan disiasat bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

"KPDN Kelantan memberikan amaran keras kepada mana-mana individu yang menjalankan aktiviti yang tidak bermoral ini, seterusnya tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi.

"Dalam masa yang sama juga Penguat Kuasa KPDN Kelantan sentiasa mempergiatkan lagi usaha dengan mengadakan Ops Tiris dan Pemantauan Rondaan Pencegahan Penyelewengan Subsidi di sekitar sempadan negara dari masa ke semasa," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!