Tiada mogok doktor kontrak di HSAH, Hospital Melaka tenang

Operasi kesihatan di HSAH di Sungai Petani, Kedah dilihat lancar kemungkinan tiada sebarang himpunan mogok doktor kontrak setakat ini.
Operasi kesihatan di HSAH di Sungai Petani, Kedah dilihat lancar kemungkinan tiada sebarang himpunan mogok doktor kontrak setakat ini.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Tiada sebarang mogok atau perhimpunan diadakan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini membabitkan doktor kontrak berdasarkan tinjauan dilakukan Sinar Harian pada Isnin.

Operasi kesihatan dilihat berjalan seperti biasa hasil pemerhatian dilakukan sekitar jam 10 pagi dan orang ramai juga dilihat hadir mendapatkan rawatan di hospital berkenaan tanpa sebarang gangguan.

Turut berjalan seperti biasa ialah kempen derma darah di ruang lobi hospital di mana kaunter derma darah disediakan bagi tujuan membolehkan orang ramai menambah bekalan darah biarpun dalam bulan Ramadan.

Pemerhatian turut mendapati beberapa kakitangan hospital dilihat melaksanakan tanggungjawab mereka seperti biasa tanpa menunjukkan tanda-tanda berlakunya kekurangan staf bagi mengendalikan pesakit.

Situasi ini besar kemungkinan membuktikan tiada sebarang mogok atau perhimpunan membabitkan doktor kontrak di hospital ini dan pemantauan selama lebih sejam menunjukkan perkhidmatan di HSAH berjalan lancar.

Sementara itu, di Melaka, suasana di Hospital Melaka tenang dan tiada sebarang gerakan mogok diadakan membabitkan kumpulan itu yang didakwa diadakan pada Isnin.

Keadaan Hospital Melaka pada Isnin sibuk dengan orang ramai keluar masuk.
Keadaan Hospital Melaka pada Isnin sibuk dengan orang ramai keluar masuk.

Tinjauan Sinar Harian mendapati tempat letak kenderaan yang pernah menjadi lokasi himpunan doktor kontrak dua tahun lalu sesak dengan kenderaan keluar masuk.

Selain itu pintu masuk utama juga mendapati pesakit dan orang ramai keluar masuk seperti biasa, malah tidak kelihatan kumpulan doktor kontrak memakai baju hitam berkumpul.

Seorang doktor kontrak yang enggan dikenali berkata, meskipun kecewa jawatan mereka belum diserapkan secara tetap, namun tanggungjawab merawat pesakit adalah yang utama dan perlu diberikan perhatian.

"Tiada doktor yang sanggup ambil cuti sakit sebagai mogok, walaupun terkilan namun ada cara lain dan mungkin dakwaan mogok hanya di gembar-gemburkan pihak lain," katanya.

Muka depan Sinar Harian pada Isnin melaporkan bahawa ribuan doktor kontrak dijangka mengadakan mogok kerana tidak berpuas hati tuntutan mereka tidak dilayan meskipun kerajaan bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Peringkat Tertinggi bagi menanggani isu tersebut.

Sebelum ini, kumpulan doktor kontrak telah mengeluarkan kenyataan bahawa mereka telah merancang mengadakan mogok selama tiga hari bermula Isnin sehingga Rabu kerana membantah dasar pelantikan pegawai perubatan berkontrak yang dilaksanakan sejak tujuh tahun lalu.

Melalui kenyataan itu mereka turut mendakwa seramai 10,000 hingga 12,000 petugas kesihatan akan menyertai mogok berkenaan.

Difahamkan, mereka tidak akan hadir bertugas selama tiga hari dengan alasan akan mengambil cuti sakit atau kecemasan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!