Kes pecah amanah Najib, Irwan Serigar tangguh ke Mei depan

Kes pecah amanah membabitkan Najib (kiri) dan Irwan Seriger ditangguhkan selepas pendakwaan memaklumkan terdapat perkembangan baharu. - Foto Awani
Kes pecah amanah membabitkan Najib (kiri) dan Irwan Seriger ditangguhkan selepas pendakwaan memaklumkan terdapat perkembangan baharu. - Foto Awani
A
A
A

KUALA LUMPUR – Prosiding kes pecah amanah berjumlah RM6.6 bilion berkaitan International Petroleum Investment Company (IPIC) di Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin, membabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah ditangguhkan selepas pendakwaan memaklumkan terdapat perkembangan baharu.

Semasa prosiding di hadapan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi berkata, pihak pendakwaan telah menerima representasi daripada Mohd Irwan Serigar selaku tertuduh kedua, bulan lalu.

Menurutnya, ia telah dirujuk kepada peguam Negara dan arahannya ialah menangguhkan prosiding sebelum keputusan dibuat.

“Menerusi surat representasi itu, banyak perkara ditimbulkan oleh peguam bela yang memerlukan kami untuk mengesahkannya.

“Kami juga menerima salinan surat daripada peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bagi pihak bekas Perdana Menteri itu, untuk memohon penangguhan kes,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Shafee berkata, ada perbincangan yang sedang berlaku, melibatkan penyelesaian antara kerajaan dengan firma pelaburan Abu Dhabi, bagi dana yang sama dan ia merupakan subjek yang serupa bagi kes ini.

Bagi mengelak maklumat terperinci terdedah memandangkan ia merupakan isu sensitif, peguam ini turut mencadangkan prosiding ini ditangguhkan supaya perbincangan dapat berjalan dengan lancar.

“Sebelum ini, kami telah menulis surat bagi pihak Najib, pada dua tahun lalu dan malangnya ia telah ditolak.

“Bagaimanapun, berdasarkan perkembangan terkini kami akan menulis satu lagi surat supaya pertuduhan ini ditarik balik,” katanya.

Sementara itu, peguam, Datuk K Kumaraendran yang mewakili Mohd Irwan mengesahkan perkara itu dan berkata, representasi telah dihantar pada 18 Februari 2020 lalu namun tiada maklum balas diterima, maka disebabkan perkara itu, representasi baharu dihantar kepada AGC.

“Kami mohon tarikh yang singkat untuk sebutan kes dan kami dimaklumkan representasi itu akan memakan masa selama dua minggu,” katanya.

Mahkamah kemudiannya menangguhkan prosiding kepada 29 Mei depan.

Pada Februari lalu, media melaporkan Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc) dan 1MDB telah mencapai satu penyelesaian mengenai pertikaian mereka dengan IPIC dan Aabar Investments PJS (Aabar PJS).

Ia mengenai prosiding undang-undang di Mahkamah Timbangtara Antarabangsa London dan Mahkamah Tinggi London.

Menurut Kementerian Kewangan, IPIC dan Aabar PJS dari Abu Dhabi bersetuju untuk membayar AS$1.8 bilion (kira-kira RM8.06 bilion) kepada MoF Inc dan 1MDB.

Pada 25 Oktober 2018, Najib dan Mohd Irwan mengaku tidak bersalah atas enam pertuduhan pecah amanah ke atas harta kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion berkaitan bayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC).

Pada 25 Oktober 2018, Najib, 70, dan Mohd Irwan, 66, didakwa atas enam pertuduhan pecah amanah ke atas harta kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion berkaitan bayaran kepada IPIC.

Kesalahan didakwa dilakukan di Kompleks Kementerian Kewangan di Putrajaya antara 21 Disember 2016 dan 18 Disember 2017.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!