Bekalan air dijangka pulih lewat hari ini
Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) Charles Santiago berkata kerja-kerja penambahbaikan yang bermula pada pukul 8 pagi semalam menepati tempoh jangkaan ditetapkan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) dan SPAN.
"LRA SSP2 kini sedang dalam tempoh pemulihan dan pengoperasian semula yang dijangka mengambil masa sekitar 24 jam.
"Bekalan air dijangka kembali pulih secara berperingkat bermula lewat hari ini (25 April), bergantung kepada lokasi sebagaimana dijadualkan Syabas sebelum ini," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
SPAN akan terus memantau secara rapi sepanjang tempoh henti tugas dan pengoperasian semula loji bagi memastikan bekalan air kembali dinikmati pengguna berdasarkan jadual yang dikeluarkan sebelum ini.
Henti tugas LRA SSP2 yang bermula semalam dikatakan menyebabkan gangguan bekalan air hingga 86 jam, bergantung kepada lokasi dan kedudukan pengguna dengan melibatkan 620,835 akaun atau 4,143,465 pengguna di 577 kawasan.
Gangguan itu melibatkan Shah Alam, Klang, Kuala Lumpur, Petaling, Gombak, Kuala Langat serta Kuala Selangor. -Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!