Hospital Selayang, HTJ Negeri Sembilan beroperasi seperti biasa

Situasi tempat mengambil ujian darah di Hospital Selayang. (Gambar kecil: Azizi, Khadijah)
Situasi tempat mengambil ujian darah di Hospital Selayang. (Gambar kecil: Azizi, Khadijah)
A
A
A

SELAYANG - Operasi kesihatan di Hospital Selayang berjalan lancar pada hari pertama doktor kontrak dilapor mengadakan mogok pada Isnin.

Tinjauan Sinar Harian di hospital berkenaan pada jam 10 pagi mendapati tidak kelihatan sebarang notis atau pengumuman gangguan disebabkan masalah kekurangan pegawai perubatan dilaporkan.

Selain itu, beberapa orang awam yang ditemui turut mengakui tidak berdepan sebarang masalah bagi mendapatkan perkhidmatan perubatan di sana.

Seorang pesara, Azizi Bujang, 62, berkata, urusan isterinya yang menjalani ujian darah pada hari berkenaan mengikut jadual ditetapkan tanpa sebarang penangguhan.

"Ini kali kedua saya bawa isteri ke hospital. Isteri baharu saja di diagnos sakit buah pinggang jadi pada hari ini perlu urusan mengambil darah sebelum jumpa doktor pakar minggu depan.

"Saya dapati urusan berjalan lancar. Saya datang pada jam 7.15 pagi dan selesai urusan jam 10 pagi," katanya.

Suri rumah, Khadijah Mazli, 25, pula turut memaklumkan tidak berdepan masalah berurusan di hospital berkenaan.

"Saya datang untuk tetapkan tarikh temu janji dengan doktor disebabkan bayi dalam kandungan ada sedikit masalah.

"Urusan saya selesai kurang 15 minit. Saya tak tahu doktor kontrak ada buat mogok hari ini kerana semua urusan nampak lancar," katanya.

Seorang lagi suri rumah, Jiun Liaw, 53, yang menghantar bapanya ke unit kecemasan hospital berkenaan turut memaklumkan keadaan di unit berkenaan berada dalam keadaan terkawal.

"Saya hantar bapa saya sejak semalam dan masih dirawat hingga hari ini. Saya dapati tiada sebarang masalah atau gangguan.

" Orang agak ramai tapi keadaan tersebut normal kerana berurusan di hospital awam. TiIada yang tolak pesakit kerana kekurangan pekerja, " katanya.

Dalam pada itu, pesakit di hospital berkenaan, R Inderan, 33, berkata, dia tidak nampak sebarang perbezaan atau gangguan perkhidmatan disebabkan isu doktor kontak mengadakan mogok.

"Saya nampak baik-baik saja setakat ini, tidak pasti jika berdepan masalah pada waktu malam.

" Saya sudah tiga hari ditempatkan di wad sementara dan tak ada nampak perbezaan, semua petugas nampak bekerja macam biasa, " ujarnya.

Sinar Harian difahamkan seramai 288 doktor kontrak yang berkhidmat di hospital berkenaan.

Sementara itu, operasi Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) di sini masih berjalan lancar setakat jam 12 tengah hari meskipun dilaporkan kumpulan doktor kontrak merancang mengadakan mogok bermula pada Isnin.

Keadaan terkawal di HTJ
Keadaan terkawal di HTJ

Tinjauan Sinar Harian mendapati, keadaan di hospital juga terkawal walaupun kehadiran ramai pesakit mendapatkan rawatan sejak awal pagi.

Malah tidak kelihatan kumpulan doktor kontrak melakukan mogok di luar hospital.

Orang awam yang ditemui berkata, mereka tidak tahu berkenaan mogok yang akan dilakukan tetapi tidak berdepan masalah untuk mendapatkan rawatan seperti biasa.

"Rasanya tempoh menunggu untuk mendapatkan rawatan susulan pun sama sahaja seperti kebiasaan datang ke sini," katanya.

Sementara itu Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan berkata, pihaknya difahamkan keseluruhan operasi di hospital kerajaan di Negeri Sembilan berjalan seperti biasa.

Ujarnya, terdapat 565 doktor kontrak di Negeri Sembilan dan mereka dilaporkan pergi bekerja seperti biasa.

"Setakat ini tiada yang mengambil tindakan melakukan mogok sehingga mengganggu operasi hospital," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!