Yuran PIBG: KPM sentiasa pantau, elak bebankan ibu bapa

Fadhlina pada Persidangan Dewan Negara di Bangunan Parlimen pada Isnin. - Foto Bernama
Fadhlina pada Persidangan Dewan Negara di Bangunan Parlimen pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sentiasa memantau dan memastikan pihak sekolah mematuhi prosedur ditetapkan supaya caj yuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang dikenakan tidak membebankan ibu bapa, Dewan Negara diberitahu pada Isnin.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, KPM melalui Surat Pemakluman Sumbangan Persatuan Ibu Bapa dan Guru pada 15 September 2021 telah memberi peringatan kepada sekolah-sekolah agar tidak mengenakan bayaran tambahan dalam sumbangan PIBG dan pematuhan kepada garis panduan yang telah disediakan.

"Peraturan-Peraturan Pendidikan (Persatuan Ibu Bapa Guru) 1998 membenarkan PIBG untuk mengutip apa-apa sumbangan yang diputuskan dalam mesyuarat agung tahunan daripada anggota dan keputusan itu hendaklah dimaklumkan kepada Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri yang merupakan Pendaftar Negeri.

"Dalam hal ini, Surat Siaran KPM Bilangan 4 Tahun 2011 Garis Panduan Kutipan/Bayaran Keperluan Persekolahan Di Sekolah Kerajaan dan Sekolah Bantuan Kerajaan adalah berkaitan sebagai rujukan pihak sekolah,” katanya pada sesi soal jawab bagi jawapan lisan di Dewan Negara pada Isnin.

Fadhlina turut menyarankan agar ibu bapa hadir ke mesyuarat PIBG yang dianjurkan pihak sekolah bagi mendapatkan maklumat dan justifikasi berkaitan caj yuran PIBG yang dikenakan.

"Sekiranya ada aduan haruslah dikemukakan secara mengikut aturan dan proses serta sekiranya ada aduan KPM akan kenal pasti dan akan turun bersama pendaftar negeri iaitu Pengarah JPN untuk memastikan pembetulan itu dibuat sama ada melalui mesyuarat ataupun ditetapkan oleh mana-mana peraturan lain di bawah pendaftaran negeri,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!