PTPTN peruntuk RM231,000 bantu 462 pelajar USM
GEORGETOWN - [DIKEMAS KINI] Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menerusi Bantuan Pengajian KPT-PTPTN Prihatin telah memperuntukkan sebanyak RM231,000 kepada 462 pelajar di Universiti Sains Malaysia (USM) yang merupakan peminjam daripada golongan miskin dan miskin tegar.
PTPTN dalam satu kenyataan berkata, setiap pelajar yang layak telah menerima bantuan sebanyak RM500 secara 'one off' dan disalurkan ke dalam akaun bank pelajar.
“Pelaksanaan program ini juga adalah dengan kerjasama Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri dan USM bagi memastikan penerima adalah dari kumpulan sasaran yang layak,” jelas kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, sebagai agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sentiasa prihatin mengenai kebajikan para pelajar khususnya peminjam PTPTN dengan menyediakan pelbagai inisiatif untuk manfaat pelajar.
“Inisiatif Bantuan Pengajian KPT-PTPTN Prihatin diadakan untuk menyalurkan bantuan sara hidup kepada pelajar yang kurang berkemampuan di institusi pengajian tinggi (IPT) dan meringankan beban kewangan pelajar,” kata kenyataan itu.
Pada Ahad, majlis penyampaian Bantuan Pengajian KPT-PTPTN Prihatin kepada pelajar USM telah diadakan di Masjid Al-Malik Khalid USM, Gelugor, Pulau Pinang.
Majlis itu disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin.
Turut hadir Pengerusi Lembaga Gabenor USM, Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin, Naib Canselor USM, Profesor Datuk Ir Dr Abdul Rahman Mohamed dan Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!