Dihalang bermain kerana enggan batalkan puasa
PEMAIN pertahanan Nantes, Jaouen Hadjam tidak disenaraikan beraksi ketika pasukannya tewas 0-3 kepada Reims dalam aksi Ligue 1 pada Sabtu kerana ingkar larangan tidak berpuasa pada hari perlawanan, kata jurulatih pasukan itu Antoine Kombouare.
Menurut Kombouare, kelab tidak menghalang pemain untuk berpuasa tetapi tidak pada hari perlawanan.
Kombouare dikenali lantang dengan sikapnya terhadap pemain Islam ketika bulan Ramadan.
Ketika dia menjadi pengendali Paris Saint-Germain pada 2009, Kombouare turut mengarahkan pemainnya supaya tidak berpuasa pada hari perlawanan.
"Saya mempunyai peraturan yang sederhana. Tidak ada masalah dengan pemain yang berpuasa Ramadan selama seminggu. Tapi pada hari pertandingan, itu dilarang.
"Mereka yang berpuasa pada hari pertandingan akan berada di rumah. Saya tidak akan merisikokan kesihatan pemain, atau menyusahkan rakan sepasukan. Ketika anda tidak makan sepanjang hari, ia akan menjadi rumit," katanya.
Nantes memiliki enam pemain beragama Islam yang berpuasa di bulan Ramadan.
Persekutuan Bola Sepak Perancis sebelum ini telah memberitahu pengadil tidak boleh menghentikan perlawanan untuk membolehkan pemain Islam berbuka puasa pada bulan Ramadan kerana amalan itu tidak mematuhi statut badan induk bola sepak negara itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!