PRN: Kimma harap diberi tiga kerusi DUN

Syed Ibrahim ( kanan) menyerahkan sumbangan Ramadan anjuran Kimma di Masjid Jannatul Firdaus, Taman Molek pada Ahad.
Syed Ibrahim ( kanan) menyerahkan sumbangan Ramadan anjuran Kimma di Masjid Jannatul Firdaus, Taman Molek pada Ahad.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) berharap dapat meletakkan calon sekurang-kurangnya di tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada enam Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Presiden Kimma, Datuk Seri Syed Ibrahim Kader berkata, tiga kerusi DUN berkenaan membabitkan Selangor, Pulau Pinang dan Kedah.

"Kimma sudah sampaikan hasrat untuk bertanding di tiga kerusi DUN di Selangor, Pulau Pinang dan Kedah kepada Presiden Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahnad Zahid Hamidi.

"Di mana kerusi itu, belum tentu dan perlu tunggu keputusan pengagihan kerusi. Ini kerana kerajaan sekarang ini adalah kerajaan Perpaduan, jadi isu kerusi untuk PRN perlukan perbincangan lebih teliti.

"Namun setakat ini maklum balas Ahmad Zahid adalah positif apatah lagi perkara ini pernah disentuh dalam mesyuarat bersama parti gabungan," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan sumbangan Ramadan anjuran Kimma di Masjid Jannatul Firdaus, Taman Molek, di sini pada Ahad.

Syed Ibrahim menambah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, BN telah menunaikan janji apabila memberi Kimma satu kerusi Parlimen di Puchong.

Mengulas lanjut mengenai calon yang akan diletakkan pada enam PRN kelak, jelasnya parti sudah mengenal pasti calon yang berkredibiliti untuk diletakkan bagi memenangi kerusi tersebut.

Katanya, pemilihan calon itu mestilah menepati kriteria yang ditetapkan iaitu berpendidikan tinggi, berpengalaman dan mestilah dalam kalangan anak tempatan mengikut kawasan ditandingi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!