Jenayah komersil Pahang rekod lebih RM9 juta kerugian

A
A
A

KUANTAN - Sebanyak 564 kertas siasatan jenayah komersial telah direkodkan di Pahang bagi tempoh suku pertama tahun ini membabitkan kerugian

RM9, 743, 242.52.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, daripada jumlah terbabit, sebanyak 260 kertas siasatan telah didakwa dengan kadar peratusan 46.1 peratus.

Menurutnya, kes penipuan dalam talian adalah penyumbang utama bagi kesalahan kes jenayah komersil dengan merekodkan 478 kes dengan kerugian berjumlah RM6,948,138.52.

“Sebanyak 33 peratus lagi, melibatkan tipu e-belian manakala sebanyak 17 peratus ( tawaran kerja) sekali gus menjadikan kedua-dua kes ini mencatatkan jumlah paling tinggi.

"Data-data ini kita peroleh berdasarkan laporan yang diterima Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) sebanyak 1,710 sepanjang tempoh Januari hingga Mac lalu," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang akhbar bacaan kad laporan JSJK Kontinjen Pahang 2023 yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang pada Isnin.

Ramli menjelaskan pekerja sektor swasta merupakan mangsa yang tertinggi dilaporkan ditipu dengan 229 kes diikuti mangsa dari sektor kerajaan iaitu sebanyak 69 kes.

"Mangsa kebanyakan adalah lelaki dengan anggaran umur mangsa terlibat adalah 17 hingga 40 tahun,” katanya.

Tambahnya, JSJK Pahang telah berjaya membuat tangkapan ke atas 319 kes jenayah komersil sepanjang tempoh itu dengan 303 daripadanya membabitkan kes tipu yang kebanyakannya adalah pemilik akaun.

“Perbandingan jumlah tangkapan yang telah berjaya dibuat berbanding tempoh sama pada tahun lalu adalah sebanyak 230 tangkapan dengan peningkatan sebanyak 89 tangkapan iaitu bersamaan dengan 38.7 peratus,” katanya.

Ramli juga memberitahu, pihak JSJK Pahang sentiasa menjalankan program pencegahan secara berterusan seperti pameran, ceramah dan siaran media secara fizikal dan secara maya, pengedaran risalah, pertemuan dengan masyarakat di luar bandar seperti sembang santai.

“Hebahan berkenaan fungsi semak mule serta Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 juga dibuat bagi membolehkan masyarakat menghubungi dengan segera sekiranya terdapat transaksi yang mencurigakan dalam akaun. Dengan itu, dapat mengesan pemilik akaun yang terlibat dengan aktiviti scammer,” katanya.

Selain itu katanya, bagi tempoh Januari hingga Mac tahun ini, sebanyak empat pameran telah dilaksanakan dengan jumlah kehadiran seramai 1,550 orang.

“Dalam masa sama juga, sebanyak 64 ceramah telah diadakan dengan jumlah kehadiran mencatatkan 8,467 peserta dan 97 siaran media telah dijalankan di seluruh negeri Pahang.

"Program yang dijalankan di pelbagai agensi seperti institusi pendidikan, agensi kerajaan serta swasta, rumah-rumah ibadat dan lebih meluas melalui media sosial untuk memberi seberapa banyak pendedahan kepada masyarakat berkenaan kes-kes terutamanya penipuan dalam talian,” jelasnya.

Sehubungan itu, Ramli menasihatkan agar masyarakat tidak mudah terpengaruh dengan laman media sosial jualan yang tidak wujud, sindiket pelaburan tidak wujud, pinjaman tidak wujud dan tawaran pekerjaan melalui laman media sosial.

Beliau meminta agar masyarakat mengelakkan memuat naik aplikasi pautan dari sumber tidak sah atau mencurigakan.

"Kalau boleh buat semakan nombor akaun dan nombor telefon yang diterima dipautan https://semakmule.rmp.gov.my/ terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi.

"Masyarakat juga dinasihatkan supaya kerap membuat semakan berhubung kemasukan atau pengeluaran wang yang mencurigakan dalam akaun sendiri supaya tidak menjadi disuspek sebagai keldai akaun," kata.

Habis#

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!