Kerajaan kaji pelaksanaan diat
KUALA LUMPUR - Kerajaan sedang mengkaji pelaksanaan diat dalam Rang Undang-Undang Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 iaitu hukuman yang memperuntukan agar pesalah membayar ganti rugi atau pampasan kepada keluarga mangsa.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh berkata, pada masa ini Kanun Acara Jenayah memperuntukkan pampasan melalui Seksyen 426 iaitu pampasan diberikan mahkamah, bukannya pihak lain.
"Kerajaan sedang mengkaji pelaksanaan diat termasuk implikasi perundangan dan kewangan kepada kerajaan.
"Sekarang ini peruntukan bawah Seksyen 426 memperuntukkan pampasan kepada keluarga mangsa.
"Walaupun mahkamah memerintahkan pampasan diberi, isunya pampasan tersebut mesti datang daripada pesalah itu...ini isu yang sangat penting untuk dikaji lebih lanjut, jadi mahkamah boleh gunakan kuasa dengan lebih pada masa akan datang," katanya ketika perbahasan Rang Undang-Undang Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 di Dewan Rakyat pada Isnin.
Beliau berkata demikian menjawab saranan yang dikemukakan oleh beberapa ahli Parlimen ketika membahaskan RUU berkenaan.
Pada masa sama beliau menegaskan, dalam usaha memperkenalkan RUU berkenaan, kerajaan turut mengambil kira kepentingan pihak lain malah sudah berjumpa dengan wakil keluarga mangsa.
"Ini untuk membuat keputusan sewajarnya dan keputusan itu mengambil kira perasaan keluarga mangsa sama ada undang-undang tersebut sama rata dengan kesalahan yang dilakukan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!