Surah Al-Insan ingatkan manusia kepada keagungan ALLAH SWT
SHAH ALAM - Surah Al-Insan yang diangkat sebagai surah pilihan pada program World #QuranHour 1444H dapat membawa umat Islam kembali mengingati bukti keagungan ALLAH SWT dalam penciptaan manusia.
Pendakwah terkenal, Profesor Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim berkata, ia juga dapat memberi keinsafan kepada manusia yang sering kali alpa akan tanggungjawab sebenar sebagai khalifah ALLAH SWT di muka bumi ini.
“Pemilihan surah ini cukup baik kerana ia mengingatkan kita bahawa manusia akan sentiasa lalai apabila mereka dikurniakan pelbagai nikmat oleh ALLAH SWT.
“Tafsirannya dapat diterapkan dalam jiwa masyarakat Islam khususnya mereka yang alpa. Jadi, apabila surah ini diketengahkan dalam World #QuranHour, ia boleh memberi peringatan seterusnya menginsafkan kita.
“Manusia diberikan akal, al-Quran dan Nabi Muhammad SAW untuk dijadikan teladan dan contoh. Jadi, apabila kita melihat dan hayati kebesaran ALLAH SWT ini dengan betul, kita pasti akan dapat merasai kelebihan sebagai manusia di dunia,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Beliau yang juga Timbalan Dekan Jaringan Industri dan Masyarakat Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia berkata, Surah Al-Insan juga akan memberi peringatan kepada umat Islam bahawa segala nikmat yang dikurniakan ALLAH SWT hanyalah pinjaman semata-mata.
Ujarnya, ALLAH SWT adalah sang pencipta yang Maha Kaya dan memiliki segala-galanya.
“Manusia asalnya tidak mempunyai apa-apa. Jadi, dengan surah ini mengingatkan kita bahawa kita hanyalah pinjaman daripada ALLAH SWT dan nikmat yang dianugerahkan kepada kita boleh ditarik pada bila-bila masa.
“Maka, cukup baik jika intipati kepada surah ini dapat diketengahkan dan dimasukkan dalam jiwa setiap umat Islam di negara kita,” jelasnya.
Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) mengangkat Surah Al-Insan sebagai surah pilihan pada program World #QuranHour 1444H yang akan bersiaran secara langsung di lokasi perdana iaitu Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada 13 April 2023.
Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff berkata, surah berkenaan dipilih bertujuan untuk memanusiakan ummah dengan 11 karakter insan Al-Abrar (berkebajikan).
Katanya, karakter itu mencakupi tanggungjawab seorang insan kepada ALLAH SWT dan peranan sesama manusia seperti memenuhi nazar, ikhlas, menunaikan solat fardu serta sabar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!