Polis siasat dakwaan anggota peras ugut pelancong
KUALA LUMPUR - Polis telah membuka kertas siasatan berkaitan video tular berdurasi satu minit 48 saat yang memaparkan seorang individu mendakwa telah diperas ugut oleh anggota polis kerana tidak membawa dokumen pengenalan diri.
Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yahaya Othman berkata, pihaknya terkesan video tular itu pada jam 11 malam Ahad.
"Video itu memaparkan seorang anggota polis memakai uniform sedang menjalankan pemeriksaan ke atas seorang individu dengan berlatar belakang papan tanda Memorial Tunku Abdul Rahman di Bulatan Dato' Onn.
"Siasatan awal yang dijalankan mendapati individu di dalam video tular tersebut mendakwa telah diperas ugut oleh anggota polis tersebut kerana tidak membawa dokumen pengenalan diri," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Yahaya berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
"Anggota polis dan individu yang juga pelancong warga China telah dikenal pasti akan dipanggil ke lPD Dang Wangi untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan.
"Kertas siasatan akan dilengkapkan dan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi arahan lanjut," katanya.
Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah percaya dengan penyebaran maklumat di laman sosial tanpa sumber yang sahih dan tepat daripada pihak polis.
"Sekiranya orang ramai mempunyai maklumat berkaitan kejadian tersebut boleh menghubungi lPD Dang Wangi di talian 03-2600 2222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!