Rafizi kemuka empat sebab kerajaan tak benar keluar KWSP

Rafizi
Rafizi
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli mengemukakan empat sebab kerajaan tetap dengan pendirian untuk tidak membenarkan pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara bersasar.

Beliau berkata, antaranya ialah KWSP diwujudkan untuk memastikan pencarum mempunyai simpanan di hari tua.

Katanya, jika pencarum meninggal dunia sekalipun, simpanan tersebut akan diberikan kepada waris.

"Pencarum mungkin mengeluarkan wang untuk keperluan pada hari ini tetapi KWSP diwujudkan untuk memastikan pekerja-pekerja dan rakyat Malaysia mempunyai simpanan di hari tua.

"Kalau pun kita mati esok simpanan dan caruman dalam KWSP itu akan pergi kepada waris-waris kita," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.

Jelas Rafizi, walaupun tuntutan pengeluaran KWSP jika dibenarkan boleh dilihat sebagai satu program kerajaan, ia sebenarnya tidak melibatkan wang atau usaha kerajaan, sebaliknya ia akan mengurangkan simpanan hari tua daripada caruman rakyat sendiri.

“Dalam tempoh dua tahun lalu, sejumlah RM145 bilion caruman KWSP telah dibenarkan keluar oleh pentadbiran sebelum ini.

“Apabila dana ini menyusut, ia akan menghadkan keupayaan KWSP untuk mempelbagaikan dan mengukuhkan strategi pelaburan demi mendapat keuntungan yang lebih baik,” jelasnya.

Sinar Harian melaporkan, barisan ahli Parlimen pembangkang mencetuskan sedikit kekecohan di Dewan Rakyat pada Isnin apabila mereka bertindak keluar dewan susulan tidak berpuas hati dengan usul membahaskan pengeluaran KWSP ditolak.

Mengulas lanjut, Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan menjelaskan, pengeluaran juga akan memberi kesan kepada pencarum lain walaupun mereka tidak mengeluarkan wang KWSP kerana pulangan secara keseluruhan akan menjadi rendah.

“Jika pulangan KWSP secara keseluruhannya rendah, maka pencarum lain pun akan turut menanggung kesan itu, dalam keadaan sebahagian besar daripada pencarum tidak mempunyai simpanan yang mencukupi untuk hari tua.

“Sebab itu, seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2023 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tindakan kerajaan sebaliknya ialah menambahkan lagi caruman dan simpanan di hari tua kepada pencarum-pencarum KWSP.

“Bukannya untuk membenarkan pengeluaran seperti yang dituntut oleh segelintir pencarum,” ujarnya.

Tambah beliau, kerajaan bertanggungjawab untuk melindungi rakyat terutama golongan berisiko seperti pencarum KWSP.

“Maka sebab itu kita pilih jalan yang memberi kebaikan kepada semua bukan jalan singkat semata-mata untuk meraih populariti politik sementara, tetapi meninggalkan masalah kepada pemimpin lain di masa hadapan untuk diselesaikan,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!