Legenda bola sepak negara diuji hidap kanser paru-paru

 Khalid Ali
Khalid Ali
A
A
A

LEGENDA bola sepak negara, Khalid Ali berdepan ujian tidak terduga apabila disahkan menghidap kanser paru-paru baru-baru ini.

Menceritakan detik sebelum disahkan menghidap penyakit berkenaan, Khalid berkata, tahap oksigen dalam badan pernah menurun kepada 40 peratus walaupun dengan sekadar berdiri dan berjalan selama tiga hingga empat jam.

Khalid yang merupakan antara watak penting kejayaan Malaysia layak ke Sukan Olimpik Moscow 1980 berkata, berat badannya juga turun mendadak sebanyak 17 kilogram (kg) dalam tempoh satu setengah bulan susulan hilang selera makan.

“Saya nampak kuat tetapi saya perlukan juga doa daripada semua, kawan-kawan dan peminat, mana tahu doa seorang daripadanya dapat menyembuhkan.

“Hari ini (Isnin) Subang Jaya Medical Center (Pusat Perubatan Subang Jaya) ada hubungi dan memberitahu keputusan (mengenai tahap kanser) sudah ada dan saya perlu berjumpa doktor pada 10 April ini,” katanya.

Menurut Khalid, perjumpaan dengan doktor pada 10 April bagi mendapatkan keputusan akhir mengenai tahap kanser dihadapinya sebelum memulakan proses rawatan.

"Ramai juga bagi idea dan nasihat untuk cuba dapatkan rawatan tradisional dan sebagainya tetapi saya rasa biar tunggu keputusan doktor dahulu, selepas itu baru kita tahu arah (ikhtiar) mana kita nak pergi," ujarnya.

Biarpun sedang diuji dengan masalah kesihatan, Khalid yang juga pemerhati dan pengkritik bola sepak tempatan bersyukur masih diberi kekuatan untuk menjalani ibadah puasa malah bersemangat untuk bangun bersahur.

“Alhamdulillah dapat berpuasa, hanya tiga hari tinggal kerana melakukan pemeriksaan seperti endoscopy dan CT (computerized tomography) scan dan saya juga bangun sahur makan kurma, minum susu dan makan ubat,” kata bekas pemain berusia 65 tahun itu.

Bekas pemain Selangor dan Kuala Lumpur itu turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) yang membantu menguruskan dan menampung rawatannya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!