JKNK keluar 37 notis kompaun kepada peniaga
ALOR SETAR - Jabatan Kesihatan Negeri Kedah (JKNK) mengeluarkan sebanyak 37 notis kompaun melibatkan pelbagai kesalahan dalam Operasi Kebersihan dan Keselamatan Makanan di semua bazar Ramadan di seluruh Kedah setakat Sabtu lalu.
Pengarah Kesihatan Negeri Kedah, Dr Othman Warijo berkata, antara kesalahan dilakukan termasuklah pengendali makanan tidak mempunyai suntikan anti-tifoid dan tahap kebersihan yang tidak memuaskan berbanding bilangan pengeluaran.
Katanya, kompaun itu dikeluarkan hasil pemeriksaan di 1,607 premis makanan termasuk pembekal ais dan 2,713 pengendali makanan di negeri ini.
"Sebanyak 19 sampel makanan juga diambil ketika operasi untuk analisis makmal, bagaimanapun tiada pelanggaran dilaporkan," katanya ketika ditemui selepas menyertai pemeriksaan dan operasi kebersihan serta keselamatan makanan di Bazar Ramadan Taman Sri Aman di sini pada Isnin.
Menurutnya, pemeriksaan ini akan diadakan secara berterusan di kesemua 72 bazar Ramadan di seluruh Kedah.
"Untuk daerah masing-masing tiap-tiap hari memang penguatkuasa ada operasi di tempat-tempat yang berlainan," katanya.
Dr Othman menambah, Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM), Jabatan Kesihatan Negeri Kedah juga telah mengambil inisiatif dengan menyediakan QR Code Aduan Kebersihan dan Keselamatan Makanan untuk pengguna menyalurkan aduan.
"Orang ramai dinasihatkan agar menggunakan kuasa membeli yang ada pada mereka dengan membeli makanan di premis yang bersih dan menyalurkan sebarang aduan berkenaan kebersihan dan keselamatan makanan.
"Pengguna hendaklah mengamalkan konsep "lihat, hidu dan rasa" sebelum menikmati juadah bagi mengelakkan keracunan makanan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!