Rahul Gandhi buat rayuan terhadap kes fitnah

Rahul Gandhi
Rahul Gandhi
A
A
A

NEW DELHI - Ketua pembangkang India, Rahul Gandhi pada Isnin membuat rayuan terhadap sabitan fitnah baru-baru ini, yang menyebabkan beliau kehilangan kerusi parlimennya.

Mahkamah membenarkannya diikat jamin dan akan mendengar petisyennya pada 13 April, lapor media tempatan.

Rahul, yang merupakan ahli parti Kongres dijatuhkan hukuman penjara dua tahun bulan lalu selepas didapati bersalah memfitnah dalam kenyataan kempen yang dibuat pada 2019.

Pemimpin parti kongres itu didakwa berkata, beliau tertanya-tanya bagaimana "semua penyamun ada perkataan Modi dalam nama keluarga” mereka.

Dalam ucapannya, beliau merujuk kepada Perdana Menteri Narendra Modi, taikun berlian Nirav Modi dan bekas ketua Liga Perdana India (IPL) Lalit Modi.

Aduan terhadap pemimpin pembangkang itu dibuat oleh Purnesh Modi, bekas menteri Gujerat dan Ahli Parlimen Parti Bharatiya Janata (BJP).

Keanggotaan parlimen ahli politik berusia 52 tahun itu telah ditamatkan dan beliau diminta mengosongkan kediaman rasminya di New Delhi berikutan sabitan itu.

Rahul adalah pengkritik hebat kerajaan BJP dan dilihat sebagai pencabar utama Modi. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!