"Saya bukan azimat' - Klopp

Klopp - Foto AFP
Klopp - Foto AFP
A
A
A

PENGENDALI Liverpool, Jurgen Klopp secara berseloroh mempersoalkan mengapa dia masih mempunyai pekerjaan ketika kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) aktif memecat pengurus masing-masing semasa saingan memasuki fasa akhir musim.

Kelab tangga ke-11, Chelsea memecat Graham Potter pada Isnin, beberapa jam selepas Leicester City yang memasuki zon penyingkiran berpisah dengan Brendan Rodgers selepas Tottenham Hotspur melepaskan khidmat Antonio Conte sebelum itu.

Sebagai rekod, Klopp berada di Liverpool sejak 2015 berada di bawah tekanan apabila kelab Anfield itu berada di tangga kelapan - lapan mata di belakang kelompok empat teratas selepas tewas 1-4 kepada penyandang juara Manchester City.

Bekas pengendali kelab Bundesliga, Borussia Dortmund sebelum itu telah membimbing The Reds merangkul kejuaraan Liga Perdana Inggeris dan Liga Juara-Juara.

“Apa yang boleh saya katakan tentang isu pemecatan? Mungkin disebabkan terdapat sesuatu yang menyebabkan saya masih kekal dalam dunia gila ini...

“Jadi saya fikir kedua-dua kelab tidak berada di tempat yang diharapkan menyebabkan berlakunya situasi ini. Saya sangat menghormati Potter dan Rodgers. Mereka baik dan hebat.

“Kami semua menerima sebahagian kesan perniagaan itu sahaja. Antonio Conte minggu lepas, Julian Nagelsmann dan kini Potter serta Rodgers, mungkin mereka tidak mencapai sasaran kelab,” kata Klopp.

Sebagai rekod, Liga Perdana Inggeris mencatatkan rekod 12 pengurus yang dipecat musim ini, yang disifatkan Klopp sebagai suasana yang tidak berapa sihat.

“Begitulah keadaannya. Sekiranya kelab kurang mencipta kejayaan ditetapkan maka anda perlu menerima keputusan itu,” katanya.

Mengenai masa depannya bersama Liverpool, pengurus dari Jerman itu berkata, Liverpool mempunyai pemilik bijak, namun dia tidak menyukai hakikat masih memegang jawatan itu disebabkan kejayaannya sebelum ini bersama kelab itu.

“Saya di sini untuk menyampaikan, saya di sini bukan sebagai azimat atau mural di dinding rumah.

“Saya masih di sini kerana apa yang berlaku beberapa tahun kebelakangan ini, saya tidak suka hakikat kebergantungan kepada faktor itu.

“Tetapi sejujurnya kami tidak boleh terus bermain seperti dilakukan beberapa perlawanan sebelum ini. Saya sangat kecewa dan kami perlu masih mencari jalan keluar," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!