Jangan cepat 'koyak'

Laporan Sukan Sinar pada Isnin. Pekan Ramli (kanan).
Laporan Sukan Sinar pada Isnin. Pekan Ramli (kanan).
A
A
A

ATLET negara perlu lebih bersedia untuk berdepan impak media sosial apabila menjerumuskan diri di platform tersebut dalam era selebriti sukan pada masa ini.

Pemerhati sukan, Datuk Dr Pekan Ramli berkata, terdapat dalam kalangan atlet yang aktif di media sosial, namun tidak mempunyai kekuatan mental apabila berdepan provokasi netizen.

“Pertama ingin saya tegaskan kepada selebriti sukan ini bahawa tidak semua orang akan suka dan menyokong kita. Ini sesuatu yang perlu difahami lebih awal.

“Kedua sebagai atlet pula mereka tidak perlulah melayan atau respon kepada semua komen bersifat negatif atau provokasi sebaliknyahanya abaikan.

“Biarkan sahaja, jangan mudah koyak emosi, kalau emosi mudah koyak macam mana nak berdepan dengan lawan di gelanggang,” katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.

Sebelum ini pemain perseorangan lelaki profesional negara, Soong Joo Ven menerima ugutan dan komen negatif daripada segelintir netizen di laman sosial Instagramnya.

Pemain berusia 27 tahun di Twitternya pada Sabtu mengakui bimbang menggunakan akaun laman sosial berkenaan kerana bukan dirinya sahaja dikecam, malah ia turut melibatkan ahli keluarganya.

Tambah Pekan, sekiranya seseorang atlet itu kekal untuk terus melayan komen-komen netizen dibimbangi akan memberi pelbagai kesan negatif.

“Saya bimbang prestasi atlet ini akan rosak pada masa depan sekiranya terus menerus melayan emosi dengan netizen.

“Lambat laun sekiranya dibiarkan berterusan akan menjejaskan prestasi kariernya pada masa depan,” katanya.

Mengulas lanjut, Pekan tidak menafikan terdapat dalam kalangan atlet yang kurang bersedia apabila tidak mengikuti perkembangan media sukan selama ini.

“Saya percaya ada juga atlet yang tidak tahu perkembangan dalam bidang ini yang berkembang pesat sejak zaman Golden Age of Sport 1920, sejarah komunikasi media sukan mengangkat atlet sebagai selebriti termasuklah wartawan, perantara, pengulas, pegawai dan jurulatih.

“Apabila status atlet telah diangkat sebagai selebriti sukan mereka perlulah bersedia berdepan sebarang kemungkinan apabila berada di media sosial,” katanya yang mengakui atlet juga mempunyai hak untuk mengambil tindakan sekiranya komen daripada netizen bersifat fitnah yang boleh menjejaskan imej mereka.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!