Tiada doktor kontrak mogok di Perak
IPOH - Jabatan Kesihatan Negeri Perak mengesahkan tiada doktor kontrak yang bertugas di fasiliti kesihatan di negeri ini menyertai mogok pada Isnin.
Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Perak, A Sivanesan berkata, perkara itu dimaklumkan sendiri oleh Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Dr Sirajuddin Hashim apabila kesemua 1,600 doktor kontrak yang ada di Perak bertugas seperti biasa.
Menurutnya, tindakan yang dicetuskan oleh pihak tertentu melancarkan kempen mogok terbabit dilihat sengaja dilakukan untuk mencetuskan ketakutan dalam kalangan masyarakat.
"Saya sudah dapat maklum balas daripada Pengarah Kesihatan Perak, kesemua doktor datang kerja hari ini. 100 peratus, tidak ada seorang pun yang tak datang.
"Kita difahamkan (jika sertai mogok) mereka telah ambil cuti, diminta untuk mengambil cuti kecemasan atau ambil cuti tahun tak dapat kerja tetapi pengarah kata semua kerja. Jadi operasi kesihatan di negeri ini tidak terjejas," katanya ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Media Perak di sebuah restoran di sini pada Isnin.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai tindak mogok doktor kontrak yang dikatakan akan berlangsung selama tiga hari di semua fasiliti kesihatan kerajaan di seluruh negara.
Sementara itu, Sivanesan turut menggesa siasatan dijalankan terhadap pihak tidak bertanggungjawab yang mencetuskan usaha mengadakan mogok selama tiga hari itu.
"Kesemua doktor kontrak telah datang kerja hari ini (semalam). Jadi usaha mogok ini sengaja diadakan untuk menakutkan rakyat. Jadi polis harus menyiasat siapakah di belakang semua ini. Sehingga hari ini tidak disebut siapakah penganjur mogok ini.
"Saya sudah berjumpa dengan Ketua Polis Perak dan saya minta polis siasat siapa di belakang tindakan ini sebab kita tak boleh berdiam diri, kita kena siasat," katanya.
Sementara itu, mengenai isu parkir di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, Sivanesan menjelaskan pertemuan yang diadakan bersama Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri pada Isnin mendapat maklum balas positif.
Katanya, pihak polis sedia memberikan kelonggaran kepada pelawat yang meletakkan kenderaan di bahu jalan sehingga parkir baharu siap asalkan tidak mengganggu laluan utama.
Katanya, parkir baharu yang akan menyediakan kira-kira 240 ruang meletakkan kenderaan itu dijangka siap pada 20 Mei depan bagi memudahkan orang ramai berurusan di HRPB.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!