25,000kg dada ayam sejuk beku dari Thailand dirampas

Salah seorang pegawai penguatkuasa MAQIS Pulau Pinang memeriksa kontena yang membawa dada ayam tanpa tulang segar sejuk beku bernilai RM240,000.
Salah seorang pegawai penguatkuasa MAQIS Pulau Pinang memeriksa kontena yang membawa dada ayam tanpa tulang segar sejuk beku bernilai RM240,000.
A
A
A

BUTTERWORTH - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Pulau Pinang berjaya menggagalkan pengimportan 25,000 kilogram (kg) dada ayam tanpa tulang segar sejuk beku bernilai RM240,000 pada Sabtu lalu.

Pengarahnya, Muhammad Ikram Abd Talib berkata, kesemua barangan sejuk beku dari Thailand itu dirampas di Pintu Masuk Pengkalan Kontena Butterworth Utara (NBCT), Pulau Pinang.

Menurutnya, hasil pemeriksaan oleh pegawai penguatkuasa MAQIS mendapati konsainan dada ayam tanpa tulang segar sejuk beku tersebut tidak mematuhi syarat permit import seperti yang ditetapkan.

"Pengimportan dada ayam tanpa tulang segar sejuk beku itu tidak menyatakan maklumat sijil halal dengan jelas dan kesemua konsainan dirampas untuk siasatan lanjut.

"Kegagalan untuk mematuhi syarat permit import bagi pengimportan dada ayam tanpa tulang segar sejuk beku tersebut adalah menjadi satu kesalahan mengikut Seksyen 15(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728]," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Tambah beliau, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 15(2) akta yang sama.

"MAQIS sentiasa komited dalam melaksanakan tugasan pada semua pintu masuk negara bersama agensi penguatkuasaan di sempadan bagi memastikan komoditi keselamatan keluaran pertanian yang dibawa masuk ke dalam negara mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan bagi menjamin kualiti dan keselamatan makanan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!