Butik Rahmah sedia 15,000 baju raya percuma

Suasana di Butik Rahmah RUTC Klebang di sini, seolah-olah orang ramai sedang membeli belah.
Suasana di Butik Rahmah RUTC Klebang di sini, seolah-olah orang ramai sedang membeli belah.
A
A
A

MELAKA - Lebih 15,000 baju baharu dan terpakai pelbagai saiz akan diberikan secara percuma kepada golongan memerlukan sempena Aidilfitri tidak lama lagi menerusi program Butik Rahmah.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Klebang Besar, Datuk Mohd Yusoff Abu Hasan berkata, Butik Rahmah yang diadakan di pekarangan Pusat Transformasi Luar Bandar (RUTC) Klebang Besar di sini, merupakan penganjuran kali keempat sejak tahun 2020.

Menurutnya, program tersebut sebagai medium kepada orang ramai yang berkemampuan untuk menyumbangkan pakaian sama ada pakaian baharu mahupun terpakai di pusat pengumpulan sebelum dipilih serta dicuci oleh pihaknya.

Mohd Yusoff memberikan pakaian percuma kepada seorang kanak-kanak yang datang ke Butik Rahmah di RUTC Klebang Besar di sini, pada malam Isnin.
Mohd Yusoff memberikan pakaian percuma kepada seorang kanak-kanak yang datang ke Butik Rahmah di RUTC Klebang Besar di sini, pada malam Isnin.

Katanya, program yang diperkenalkan sejak empat tahun itu dapat memberi keceriaan kepada mereka yang kurang bernasib baik terutama golongan B40.

"Pelbagai pakaian yang ada di sini boleh dipilih dan dibawa pulang.

"Kita menjadikan pusat ini sebagai 'butik' dan mereka yang datang seolah-olah sedang membeli-belah untuk menyambut hari raya tidak lama lagi," katanya ketika ditemui di Butik Rahmah RUTC Klebang Besar di sini, pada malam Isnin.

Tambahnya, butik itu akan beroperasi sepanjang Ramadan ini bermula jam 2 petang sehingga jam 12 tengah malam.

Sementara itu, suri rumah Halimah Atan,40, dari Pokok Mangga berkata, setiap tahun dia sekeluarga tidak akan melepaskan peluang mendapatkan baju raya percuma di pusat itu.

Halimah
Halimah

Menurutnya, dalam keadaan kos sara hidup meningkat, dia perlu berjimat cermat lebih-lebih lagi suami hanya bekerja sebagai pengawal keselamatan dan perlu menanggung dua orang anak serta empat anak saudara yang masih bersekolah.

"Bulan lalu baharu sahaja berbelanja besar untuk persekolahan anak serta anak saudara yang kematian ibunya tahun lalu.

"Jadi dengan adanya 'butik' ini sangat membantu golongan seperti saya, banyak pilihan baju raya ada di sini," katanya.

Bagi Syafinaz Abdullah, 19, kesemua baju yang disediakan masih cantik dan berkualiti.

"Baju yang disediakan masih elok malah kebanyakan baju-baju kurung diletakkan dalam plastik," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!