Petronas akan terus cari gali di Laut China Selatan

 Petronas akan terus melaksanakan kerja-kerja cari gali minyak di kawasan sedia ada di Laut China Selatan. - Gambar hiasan
Petronas akan terus melaksanakan kerja-kerja cari gali minyak di kawasan sedia ada di Laut China Selatan. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Petronas akan terus melaksanakan kerja-kerja cari gali minyak di kawasan sedia ada di Laut China Selatan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu dinyatakan beliau kepada Presiden China, Xi Jinping dan rakan sejawatnya, Li Qiang dalam lawatannya ke Beijing baru-baru ini.

Anwar bagaimanapun menjelaskan, kerajaan masih terbuka untuk rundingan sekiranya China merasakan kawasan berkenaan adalah wilayah negara berkenaan.

"Memang perkara ini dibangkitkan kerana terdapat tuntutan bertindih oleh kedua-dua pihak (Malaysia-China) di Laut China Selatan, terutama kebimbangan China kerana Petronas menjalankan kegiatan besar-besaran di satu kawasan yang dituntut China.

"Saya nyatakan sendiri kepada Presiden dan Perdana Menteri China bahawa Malaysia menganggap ini kawasan Malaysia, maka Petronas akan teruskan cari gali di kawasan itu.

"Bagaimanapun, jika China rasa ini hak mereka, kita boleh buka untuk rundingan," katanya pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) mengenai sama ada Perdana Menteri ada berbincang dengan pemimpin China mengenai keselamatan di rantau ini terutama kehadiran tentera China di Laut China Selatan.

Sementara itu mengenai kehadiran kapal dan tentera laut China di Laut China Selatan, Ahli Parlimen Tambun itu berkata, kerajaan negara itu telah menjelaskan bahawa ia berada di perairan antarabangsa.

Namun Anwar menegaskan, Kementerian Luar akan terus memantau dan mengeluarkan bantahan sekiranya terdapat perlanggaran.

Selain itu Perdana Menteri menjelaskan, Malaysia dan ASEAN tegas dengan pendirian untuk tidak menyokong sebarang usaha yang boleh meningkatkan ketegangan terutama dalam bidang ketenteraan.

"Sebab itu bila diumum penubuhan AUKUS, Malaysia menyatakan keresahan dan kebimbangan agar perkara ini tidak meledak sebagai suatu yang akan dianggap provokatif yang akan menyebabkan negara China meningkatkan kegiatan di rantau," katanya.

AUKUS merujuk kepada pembentukan kerjasama pertahanan tiga hala antara Australia, United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!