Rafizi, Nor Azmie dilantik Ahli Lembaga Amanah Yayasan Peneraju

Rafizi, Nor Azmie
Rafizi, Nor Azmie
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dan Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi, Datuk Nor Azmie Diron dilantik sebagai ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju) berkuat kuasa 27 Mac lepas.

Yayasan Peneraju dalam kenyataan pada Selas memaklumkan kedua-dua mereka dilantik secara pro-bono.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Peneraju, Dr Mohd Muzzammil Ismail berkata, pihaknya mengalu-alukan pelantikan baharu dalam Lembaga Pemegang Amanah itu dan akan bekerjasama dengan pengurusan mereka ke arah membawa Yayasan Peneraju ke hadapan.

"Bersama-sama, sebagai sebuah organisasi dipacu data, kami akan berusaha ke arah mereka bentuk dan menawarkan lebih banyak program dipacu industri untuk meningkatkan kebolehpasaran belia dengan kemahiran betul, kaedah 'tempat dan latih' kami dan akhirnya meningkatkan ekonomi negara," katanya dalam kenyataan.

Yayasan Peneraju ialah sebuah agensi kerajaan yang ditubuhkan pada 2012 untuk memberi tumpuan kepada pengukuhan pembinaan kapasiti ke arah kelestarian bakat Bumiputera.

Ini adalah selaras dengan usaha kerajaan untuk memacu Malaysia ke arah negara berpendapatan tinggi melalui program pembiayaan akademik, Program Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), profesional, teknologi dan pakar yang berstruktur.

Selain itu, Yayasan Peneraju juga berjaya meningkatkan kemahiran dan kemahiran semula lebih 57,000 modal insan termasuk golongan B40, M40, luar bandar dan terpinggir melalui lebih 440 program bagi membolehkan mereka menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!