118 Rumah Ngaji di Perak barakan World #QuranHour
IPOH - Sebanyak 118 Rumah Ngaji di Perak akan bersama-sama menyertai World #QuranHour di lokasi masing-masing pada 13 April depan.
Penasihat Rumah Ngaji Perak, Datuk Normah Hanum Ibrahim berkata, jumlah penglibatan Rumah Ngaji pada tahun ini di Perak lebih banyak susulan lebih banyak Rumah Ngaji ditubuhkan.
Katanya, di Perak terdapat tiga lokasi utama bagi penganjuran World #QuranHour pada tahun ini iaitu di Masjid Sultan Idris Shah II iaitu Masjid Negeri Perak, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak dan Masjid Al-Mursyidin, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
"Kami bersyukur bagi pihak Rumah Ngaji Perak kerana Masjid Negeri Perak bersetuju untuk menjadi tuan rumah ini merupakan salah satu hotspot terbesar selain daripada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.
"Kami juga akan maklumkan kepada semua penggerak Rumah Ngaji di seluruh negeri Perak supaya mengadakan World #QuranHour pada masa yang sama mengajak masyarakat setempat dan dibuka kepada semua masyarakat bukan saja orang Islam supaya mereka turut mendengar apa yang dibawa oleh Al-Quran," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Masjid Sultan Idris Shah II pada Isnin.
Dalam pada itu, Normah Hanum turut mengajak masyarakat yang berada di sekitar lokasi utama atau di Rumah Ngaji berhampiran untuk turut serta dalam program tersebut.
Menurutnya, pada kali ini World #QuranHour memilih Surah Al-Insan untuk dihayati bagi melahirkan manusia yang lebih baik.
"Kita nak melahirkan manusia yang mempunyai 11 karektor baik iaitu pembentukan akhlak yang sangat diperlukan sekarang ini. Ketika ini kita lihat masyarakat terlalu pincang dan ini satu kelainan World #QuranHour setiap tahun.
"Selain di masjid-masjid dan surau diri Jumaat, program ini juga akan diadakan di sekolah-sekolah di negeri ini selain keluarga masing-masing juga boleh bersama di rumah menonton secara langsung di televisyen," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!