Peluang kedua kepada banduan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan kerajaan meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Pemansuhan Hukum Mati Mandatori 2023 yang turut merangkumi Akta Dadah Berbahaya 1952 memberi peluang kedua kepada banduan.

Setiausaha Agung Majlis Penyalahgunaan Bahan Malaysia (Masac), Raja Azizan Suhaimi berkata, ia merupakan perkara baharu dalam falsafah badan kehakiman dan aspek perundangan negara.

“Tindakan kerajaan membuat pindaan agar tiada lagi hukuman pemenjaraan sepanjang hayat sebagai alternatif kepada hukuman mati mandatori dengan mewujudkan hukuman alternatif yang baru iaitu hukuman penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun.

“Selain itu, hukuman sebatan tidak kurang 12 kali merupakan satu langkah yang amat baik dan mampu memberikan keinsafan kepada semua orang terutamanya bakal pesalah dadah,” ujarnya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Tambah Raja Azizan, tindakan tersebut juga mampu menurunkan jumlah banduan akhir yang menunggu kes rayuan di penjara dan mengurangkan tekanan mereka semasa menjalani hukuman.

Menurutnya, pemansuhan RUU tersebut dilihat akan menjadi contoh kepada dunia agar mengikuti langkah Malaysia dalam melaksanakan amalan baik melalui sistem kehakiman negara.

“Kini mereka boleh menyertai pelbagai sesi pemulihan di penjara yang dahulunya tidak boleh diikuti oleh banduan akhir.

“Usaha kerajaan untuk mengkaji konsep diat dan kesesuaiannya untuk dilaksanakan di negara ini dengan mengambil kira perasaan keluarga mangsa, hak asasi banduan dan prinsip kesamarataan,” jelasnya.

Justeru, dengan pindaan tersebut akan memberikan peluang lebih baik kepada bekas banduan untuk mencari peluang pekerjaan yang kini amat terhad susulan rekod mereka.

“Langkah ini merupakan jasa yang amat besar terhadap komuniti bekas banduan termasuk bekas penagih dadah yang dijadikan kesalahan di negara ini,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!