Mas Ermieyati Pengerusi PAC baharu, Shu Qi Naib Pengerusi
KUALA LUMPUR - Dewan Rakyat pada Selasa meluluskan pelantikan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) sebagai Pengerusi baharu Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dan Wong Shu Qi (PH-Kluang) sebagai Naib Pengerusi.
Usul itu dikemukakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sesi pagi persidangan Dewan Rakyat, pada Selasa.
"Bahawa Yang Berhormat Datuk Mas Ermieyati Samsudin, Ahli Parlimen Masjid Tanah dan Yang Berhormat Wong Shu Qi, Ahli Parlimen Kluang masing-masing dipilih sebagai Pengerusi dan Naib Pengerusi PAC bagi Majlis Parlimen ke-15,” usul Anwar.
Pelantikan itu kemudiannya diluluskan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Datuk Johari Abdul selepas lebih suara bersetuju.
Mas Ermieyati dipilih bagi menggantikan Wong Kah Woh (PH-Taiping), yang sebelum ini Ahli Parlimen Ipoh Timur ketika memegang jawatan Pengerusi PAC dari Ogos 2020 hingga Oktober 2022. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!