Pengumuman agihan dividen TH tahun ini dijangka lewat

Mohd Na'im pada Persidangan Dewan Negara di Bangunan Parlimen, pada Selasa. - Foto Bernama
Mohd Na'im pada Persidangan Dewan Negara di Bangunan Parlimen, pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tarikh pengumuman dan semakan agihan dividen Tabung Haji (TH) bagi tahun kewangan 2022 dijangka sedikit lewat berbanding tahun lepas, Dewan Negara diberitahu pada Selasa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, ia berikutan agihan dividen hanya boleh dibuat selepas audit bersih dilaksanakan.

"Insya-Allah dalam masa terdekat... ia agak lewat sedikit kerana laporan daripada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) memerlukan TH untuk mengumumkan agihan dividen setelah audit bersih dibuat.

"Jadi ia mengambil sedikit masa untuk membuat pengumuman tarikh (agihan dividen) berbanding tahun lepas,” katanya sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 (Belanjawan 2023) di Dewan Negara pada Selasa.

Ia bagi menjawab celahan Senator Mohd Apandi Mohamad yang ingin mengetahui tarikh pengumuman dividen TH pada tahun ini.

Pada tahun lalu, pengumuman berhubung perkara itu dilakukan pada 24 Feb 2022.

Sementara itu, Mohd Na’im berkata, kerajaan sangat komited dan optimis dalam melahirkan huffaz yang berkualiti dengan merangka pelbagai strategi selaras dengan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) yang dilancarkan pada 2018.

Menurutnya, berdasarkan data Darul Quran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, rekod sehingga Februari 2023 mencatatkan seramai 10,675 huffaz berjaya dilahirkan dengan 2,102 orang daripadanya merupakan huffaz profesional daripada lapan buah institusi pengajian tinggi.

"Kerajaan juga telah membina pelan tindakan DPTN yang mengandungi 20 strategi dan 32 inisiatif yang berpandukan kepada lima teras antaranya memantapkan undang-undang dan penguatkuasaan; mewujudkan model insitusi tahfiz serta mewujudkan kurikulum pendidikan tahfiz yang sesuai dengan pendidikan arus perdana,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!