Kerajaan peruntuk RM5 juta naik taraf mahkamah JSKK

Ramkarpal Singh - Foto Bernama
Ramkarpal Singh - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan memperuntukkan RM5 juta di bawah Belanjawan 2023 bagi kerja-kerja menaik taraf dan penyediaan infrastruktur mahkamah Jenayah Seksual terhadap Kanak-Kanak (JSKK), Dewan Negara diberitahu pada Selasa.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh berkata, mahkamah JSKK yang kondusif dan mesra kanak-kanak mampu membantu golongan berkenaan dalam memberikan keterangan yang baik sekali gus melancarkan prosiding mahkamah.

"Antara kemudahan-kemudahan yang disediakan ialah kelengkapan infrastruktur yang merangkumi ruang rehat, ruang bermain, ruang tidur, ruang makan dan tandas,” katanya pada sesi penggulungan bagi kementerian itu di Dewan Negara.

".. (selain itu) kemudahan infrastruktur berteknologi tinggi dan mesra kanak-kanak seperti sistem rakaman mahkamah dan transkrip, voice-to-text (VTT), sistem audio visual, sistem visualiser dan alat bantu semasa memberi keterangan seperti patung anatomi,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan yang dibangkitkan Senator Datin Ros Suryati Alang ketika sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023, yang ingin tahu penambahbaikan yang dirancang oleh kerajaan bagi mahkamah berkenaan. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!