PTGS catat hampir setengah juta transaksi tanpa tunai
SHAH ALAM - Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor (PTGS) mencatatkan sebanyak 462,300 transaksi tanpa tunai atau 'cashless' dalam Kempen Bayaran Tanpa Tunai sehingga 28 Februari.
Pengarahnya, Dr Yusri Zakariah berkata, ia membabitkan kutipan hasil lebih kurang 80 peratus daripada 578,945 jumlah keseluruhan transaksi bayaran urusan tanah di PTGS dan Pejabat Tanah Daerah.
Menurut beliau, Kempen Bayaran Tanpa Tunai dianjurkan Payment Network (PayNet) Malaysia dengan kerjasama PTGS yang bermula dari tempoh 1 Januari sehingga 31 Mei iaitu selama lima bulan.
"Sepanjang kempen ini PTGS mensasarkan 50 peratus daripada jumlah transaksi urusan tanah menggunakan kaedah bayaran tanpa tunai atau 'cashless'.
"Sebanyak 462, 300 transaksi tanpa tunai telah dicatatkan iaitu lebih kurang 80 peratus daripada 578, 945 jumlah keseluruhan transaksi melibatkan semua jenis bayaran urusan tanah," katanya di Majlis Perasmian Pusat Setempat (OSC) PTGS dan Pelancaran Hari Tanpa Tunai Pentadbiran Tanah Negeri Selangor di Foyer Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini pada Selasa.
Majlis perasmian disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.
Dalam pada itu, Yusri berkata, objektif pelaksanaan Hari Tanpa Tunai ini adalah untuk mewujudkan persekitaran pembayaran tanpa tunai yang lebih efisien dan selamat bagi semua bayaran.
"Ini melibatkan urusan tanah sama ada bil cukai tanah, cukai petak, permit atau lesen, notis berkanun, fi urusniaga dan bukan urusniaga termasuk menjelaskan denda atau penalti yang dikenakan," tambahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!