SKMM tak pernah hantar e-mel pindah wang kemenangan
SHAH ALAM - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menegaskan, pengerusinya tidak pernah menghantar sebarang e-mel kepada orang awam berhubung tawaran bantuan untuk memindahkan hadiah kemenangan.
SKMM dalam satu kenyataan pada Selasa memaklumkan, tawaran itu adalah bagi memindahkan wang kemenangan sebanyak RM270,000 daripada syarikat Telekom Malaysia kepada akaun bank individu penerima e-mel tersebut.
“Sehubungan itu, orang awam diingatkan untuk sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan e-mel yang tidak ditentukan kesahihannya.
“Elakkan daripada memberikan butiran peribadi seperti maklumat perbankan internet dan maklumat kad pengenalan kepada individu yang tidak dikenali,” menurut kenyataan itu.
Pada masa yang sama, SKMM menggesa orang awam untuk segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 sekiranya mereka telah membuat transaksi perbankan kepada mana-mana akaun yang dikatakan untuk tujuan yuran pemprosesan sebelum hadiah kemenangan tersebut boleh dituntut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!