RUU Akta Kesihatan Mental dibentang kali pertama

Azalina membentang Rang Undang-Undang Kesihatan Mental (Pindaan) 2023 di Parlimen pada Selasa. - Foto Bernama
Azalina membentang Rang Undang-Undang Kesihatan Mental (Pindaan) 2023 di Parlimen pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A
KUALA LUMPUR - Rang Undang-Undang Kesihatan Mental (Pindaan) 2023 yang antara lain membolehkan pegawai intervensi krisis menangkap mana-mana orang yang cuba membunuh diri, dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada Selasa.

Rang undang-undang bagi meminda Akta Kesihatan Mental 2001 (Akta 615) itu dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Menerusi rang undang-undang tersebut, pegawai intervensi krisis juga boleh menangkap mana-mana orang yang difikirkan mempunyai kecelaruan mental yang boleh berbahaya kepada dirinya atau kepada orang lain atau harta.



Selain itu, pegawai intervensi krisis boleh semasa menjalankan kuasa di bawah subseksyen (2) untuk memecah buka mana-mana pintu atau tingkap luar atau dalam mana-mana premis dan masuk ke dalam, atau selainnya masuk secara paksa ke dalam premis dan mana-mana bahagian premis itu atau memindahkan secara paksa apa-apa halangan kepada laluan masuk itu.

Menurut rang undang-undang itu, pegawai berkenaan yang telah menangkap orang di bawah subseksyen (1) hendaklah dengan seberapa segera yang praktik, tetapi tidak lewat daripada 24 jam selepas penangkapan itu, membawa orang berkenaan kepada pegawai perubatan di hospital psikiatri kerajaan atau pengamal perubatan berdaftar di hospital psikiatri swasta yang diwartakan untuk pemeriksaan.

Pegawai intervensi krisis yang dinyatakan adalah seperti pegawai polis, pegawai jabatan kebajikan dan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

Pada masa yang sama Azalina turut membentangkan Rang Undang-Undang Kanun Keseksaan (Pindaan) (No.2) 2023 dan Rang Undang-Undang Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) (No.2) 2023 bacaan kali pertama.

Menurutnya, bacaan kedua bagi ketiga-tiga rang undang-undang itu akan dibuat pada mesyuarat akan datang. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!