Graduan ijazah: Syor gaji tidak kurang RM3,000 sebulan
KUALA LUMPUR - Senator Datuk C Sivarraajh mengesyorkan agar graduan ijazah sarjana ditawarkan gaji bulanan tidak kurang daripada RM3,000 sebulan.
Menurutnya, ia sebagai usaha untuk menangani isu kos sara hidup yang bukan hanya dilihat dari sudut mengawal selia harga barangan semata-mata.
“Saya berpendirian dan memohon agar kerajaan turut menetapkan satu had gaji minima secara sah tidak kurang daripada RM3,000 sebulan bagi graduan Sarjana Muda,” katanya di dalam sesi pembentangan di Dewan Negara pada Selasa.
Beliau berkata demikian selaras dengan hasrat Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menyarankan majikan membayar gaji minimum RM3,000 terhadap graduan yang menyertai Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET) baru-baru ini.
Dalam pada itu, Sivarraajh berkata, beliau sememangnya menyambut baik usaha kerajaan melalui beberapa inisiatif dalam Belanjawan 2023 untuk mengimbangi dan mengawal harga barangan.
"Pada masa yang sama, saya rasa kerajaan juga perlu ada inisiatif yang lebih utuh dalam meningkatkan pendapatan rakyat, terutamanya anak-anak muda,” ujarnya.
Beliau berkata, berdasarkan statistik yang dikeluarkan Jabatan Statistik Negara pada 2021, bilangan graduan di Malaysia mencecah hampir 5.61 juta orang yang mana mewakili kira-kira 22 peratus tenaga kerja negara.
“Gaji purata seseorang graduan menjunam sebanyak 10.6 peratus, dari RM5,020 ke RM4,489 sebulan pada tahun 2020 manakala gaji median pula menjunam sebanyak 11.3 peratus, dari RM4,300 ke RM3,796 sebulan pada tahun yang sama.
“Saya sendiri mula bekerja sekitar tahun 2003, hampir 20 tahun lepas, ketika itu, gaji untuk graduan Sarjana Muda adalah sekitar RM1,600.
"Kini, selepas 20 tahun, saya melihat graduan Sarjana Muda dibayar gaji sekitar RM1,800 hingga RM2,000 sahaja,” jelasnya.
Sivarraajh dalam pada itu turut memohon kepada kerajaan agar satu akta gaji minima khas buat para graduan digubal dalam masa terdekat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!