Guru rugi RM91,400 wang simpanan bank lesap
KUANTAN - Seorang guru wanita berputih mata apabila wang simpanan, pinjaman dan hasil gadaian barang kemas berjumlah RM91,400 yang disatukan dalam sebuah akaun bank dipercayai dilesapkan suspek sindiket penipuan dalam talian.
Nasib malang menimpa wanita berusia 51 tahun itu berlaku apabila dia terpedaya dengan panggilan telefon diterima pada 24 Februari lalu daripada individu menyamar sebagai pegawai insurans, polis dan timbalan pendakwa raya berkait kes tuntutan insurans.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, mangsa didakwa dikehendaki pihak berkuasa kerana disyaki terlibat dalam kes tuntutan insurans perubatan palsu berjumlah RM68,000 di sebuah hospital swasta di ibu negara.
Menurutnya, mangsa yang menafikan dakwaan tersebut diarah menukar kad bank dan mengemas kini nombor pengesahan transaksi (TAC) bagi tujuan siasatan.
"Mangsa turut diarahkan memindahkan semua wang dimiliki termasuk wang simpanan Tabung Haji, wang pinjaman dan hasil gadaian barang kemas ke dalam akaun bank yang dikemas kini terbabit
"Mangsa akur dengan menuruti semua arahan suspek sehingga sedar ditipu selepas menyedari semua wang dalam akaun bank dilesapkan dalam tempoh sebulan," katanya.
Ramli berkata, orang ramai diingatkan supaya membuat semakan setiap panggilan meragukan yang diterima sebelum berurusan bagi mengelak ditipu.
"Semakan nombor akaun dan nombor telefon yang diterima boleh dibuat melalui pautan https://semakmule.rmp. gov.my sebelum membuat sebarang transaksi," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!