Tarikh Aidilfitri: Hormati keputusan Majlis Raja-raja - Jakim
PUTRAJAYA – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) meminta semua pihak untuk menghormati ketetapan yang dibuat oleh Majlis Raja-raja dengan tidak membuat sebarang andaian mengenai tarikh Aidilfitri tahun ini.
Jakim dalam satu kenyataan pada Selasa memaklumkan, semua pihak termasuk pengurusan masjid dan surau, disaran sentiasa membuat semakan ketepatan tarikh hijrah yang terdapat pada jam digital azan, agar sentiasa selari dengan kalendar hijrah yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) atau pihak berkuasa agama negeri dan disahkan Panel Pakar Falak.
"Jakim ingin memaklumkan bahawa pengisytiharan tarikh 1 Syawal pada setiap tahun bagi Malaysia dibuat oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, melalui media utama sejurus menerima laporan hasil cerapan anak bulan yang dibuat di 29 lokasi cerapan rasmi, setelah mendapat mandat Yang di-Pertuan Agong yang mewakili Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-Raja," menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu menjelaskan, cerapan Hilal Syawal bagi tahun ini pada petang Khamis, 29 Ramadan 1444H bersamaan 20 April ini.
Tular di media sosial mengenai hebahan tarikh Hari Raya Aidilfitri yang dikatakan jatuh pada 21 April ini.
Difahamkan keadaan itu menimbulkan spekulasi dalam kalangan warga maya mengenai tarikh Aidilfitri tahun.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!