Ular sawa 'check in' hotel
MELAKA TENGAH - Pekerja di bahagian pendaftaran sebuah hotel di Taman Melaka Raya di sini terkejut selepas melihat seekor ular sawa sepanjang hampir 2 meter berlingkar di bawah kaunter hotel berkenaan.
Kejadian berlaku kira-kira jam 7 pagi semalam ketika pekerja lelaki berusia 55 tahun berkenaan hampir menamatkan tugasan malam sebelum digantikan kakitangan shift pagi.
Pemilik hotel berkenaan, Datuk Nur Sahar Osman berkata, kejadian itu diketahui selepas dimaklumkan pekerjanya itu melalui panggilan telefon kira-kira jam 7.30 pagi sebelum bergegas ke premis terbabit.
"Dalam pada masa sama salah seorang pekerja menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM). Ular masuk ke dalam hotel adalah kejadian pertama sejak mula beroperasi pada 2009.
"Mungkin semalam hujan lebat dan ular masuk ke lobi hotel kira-kira jam 4 atau 5 pagi tadi. Mungkin juga kerana kedudukan hotel dekat dengan hutan yang jarak cuma 100 meter, ditambah pula keadaan pintu yang sentiasa terbuka," katanya ketika ditemui di hotel berkenaan semalam.
Sementara itu, Pegawai Bahagian Operasi & Latihan APM Melaka Tengah, Leftenan (PA) Mohd Kamil Hassan ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 7.20 dan sepasukan terdiri dari empat anggota serta seorang pegawai dikerah ke lokasi.
"Pasukan mengambil masa kira-kira 10 minit untuk menangkap reptilia itu dan kemudiannya dibawa balik ke Bilik Kawalan Operasi Daerah Melaka Tengah sebelum dilepaskan ke lokasi selamat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!