Hamzah, Muhyiddin, Hadi 'hilang' 7 kali berturut - Tze Tzin
KUALA LUMPUR - Sesi soal jawab Perdana Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa sekali lagi menyaksikan tiada kelihatan kelibat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Bukan hanya beliau, Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN - Pagoh) dan Tan Sri Abdul Hadi Awang (PN - Marang) juga tidak kelihatan ketika sesi tersebut berlangsung.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil menerusi ciapan di Twitternya berkata dalam sesi tersebut, dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof turut hadir tetapi tidak bagi pemimpin tertinggi pembangkang.
“Malangnya, sekali lagi Ketua Pembangkang, Hamzah, Muhyiddin dan Abdul Hadi tidak hadir dan tidak menanyakan soalan.
“Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri diadakan setiap Selasa.
“Ini peluang terbaik Pembangkang bangkitkan soalan, berdepan, dan bersemuka dengan Perdana Menteri,” tulis beliau.
‘Kehilangan’ tiga pemimpin itu turut mendapat perhatian Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin yang mendakwa ketiga-tiga pemimpin itu sudah ‘hilang tujuh kali berturut-turut’.
“Di United Kingdom - Prime Minister Question Time (PMQT) adalah medan PM vs Ketua Pembangkang.
“Di Malaysia - Ketua Pembangkang Hamzah, Muhyiddin dan Abdul Hadi hilang tujuh kali berturut-turut,” ciapnya.
Di UK - Prime Minister Question Time PMQT adalah medan PM vs Ketua Pembangkang.
— SimTzeTzin 沈志勤 (@simtzetzin) April 4, 2023
Di Malaysia - Ketua Pembangkang @dhzhamzah@MuhyiddinYassin@abdulhadiawang hilang 7 kali berturut-turut. pic.twitter.com/F0F9R5BbRA
Ahli Parlimen Gopeng, Tan Kar Hing juga mengkritik tindakan tiga pemimpin itu yang selalu tiada ketika sesi melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat itu.
“Pagoh, Marang dan Larut masih tidak kelihatan dalam dewan.
“Sedangkan Perdana Menteri telah mula menjawab soalan sesi PMQT.
“Setakat ini, trio ini tidak pernah wujud berdepan dan berdebat dengan PMX dalam Dewan Rakyat,” ujarnya. - Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!