Prestasi dagangan Malaysia diunjur naik, separuh kedua 2023

Prestasi perdagangan Malaysia dijangka memaparkan tanda-tanda peningkatan dalam separuh kedua 2023.
Prestasi perdagangan Malaysia dijangka memaparkan tanda-tanda peningkatan dalam separuh kedua 2023.
A
A
A

PRESTASI perdagangan Malaysia dijangka memaparkan tanda-tanda peningkatan dalam separuh kedua 2023, dipacu oleh permintaan tinggi bagi barangan serta perkhidmatan susulan pemulihan pertumbuhan ekonomi di peringkat global.

Dalam nota tinjauannya pada Selasa, RHB Research berkata, tempoh separuh pertama menyaksikan prestasi perdagangan "lebih menyederhana” berikutan penghantaran keluar produk berasaskan perkilangan dan komoditi yang lebih perlahan.

"Pandangan kami lebih berhati-hati terhadap prospek perdagangan (bagi separuh pertama 2023) itu yang kebanyakannya berdasarkan risiko penurunan susulan daripada pertumbuhan ekonomi negara maju yang lebih perlahan, kesan dasar kewangan yang diperketat, unjuran penyusutan harga komoditi global dan ketidaktentuan berkaitan ketegangan geopolitik," katanya.

Bagaimanapun, katanya, tempoh enam bulan pertama tahun ini dijangka menyaksikan penggunaan swasta kekal kukuh pada 5.9 peratus tahun ke tahun susulan pasaran tenaga kerja yang mantap serta momentum pendapatan isi rumah.

Malah, keadaan pasaran tenaga kerja dijangka kekal baik bagi tahun ini dengan purata kadar pengangguran pada 3.6 peratus tahun ke tahun, didorong oleh kewujudan pekerjaan sektor perkhidmatan yang kukuh.

Perbelanjaan pelaburan pula diunjur berkembang sebanyak 3.6 peratus dalam separuh pertama 2023 dengan pertumbuhan pelaburan swasta dan awam dipacu oleh perbelanjaan modal dalam sektor perkhidmatan dan pembuatan yang mendapat sokongan berterusan bagi tujuan peningkatan automasi serta pendigitalan.

"Pelaburan awam diunjur terus berkembang di tengah-tengah usaha meneruskan projek berkaitan pengangkutan berskala besar seperti Laluan Rel Pantai Timur, Transit Aliran Ringan Laluan 3 dan Lebuhraya Pan Borneo,” kata firma penyelidikan itu.

Selain itu, RHB Research turut mengekalkan unjuran pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) 2023 pada 5.0 peratus manakala ekonomi berkembang masing-masing 4.6 peratus pada separuh pertama dan 5.4 peratus dalam separuh kedua.

"Di sebalik kelembapan permintaan luaran, kami menganggap risiko pertumbuhan ekonomi itu sendiri adalah terhad. Mengikut penilaian kami juga, ekonomi domestik secara relatifnya adalah baik,” katanya.

RHB Research juga mengekalkan unjuran kemuncak kadar dasar semalaman (OPR) pada 3.25 peratus berbanding 2.75 pada masa ini manakala inflasi keseluruhan pada 3.0 peratus dan inflasi teras pada 3.5 peratus. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!