Kerajaan kaji semula pelarian bekerja di sektor perladangan

Fadillah ketika sesi penggulungan pada Persidangan Dewan Negara di Bangunan Parlimen pada Selasa. - Foto Bernama
Fadillah ketika sesi penggulungan pada Persidangan Dewan Negara di Bangunan Parlimen pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN) sedang mengkaji dan meneliti semula kemungkinan penggunaan tenaga kerja sementara daripada komuniti pelarian dan pencari suaka di Malaysia, dalam usaha menangani isu kekurangan tenaga kerja di sektor perladangan.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pada masa ini, kerajaan di bawah MKN jelas tidak membenarkan pelarian atau pencari suaka untuk bekerja di semua sektor di Malaysia termasuk sektor perladangan.

"Sebelum ini terdapat projek rintis yang dilaksanakan oleh kerajaan bagi membenarkan golongan pelarian ini bekerja, namun projek ini tidak berjaya dan perkara ini dalam kajian semula oleh pihak MKN,” katanya semasa sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 di Dewan Negara di sini pada Selasa.

Perkara tersebut dibangkitkan Senator Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai yang mencadangkan kementerian berkenaan meneliti penggunaan tenaga kerja sementara daripada komuniti pelarian atau pencari suaka bagi menangani isu kekurangan tenaga buruh di sektor perladangan negara.

Selain itu, Fadillah juga berkata, kerajaan sentiasa komited untuk mendokong sektor agrikomoditi di sebalik pelbagai cabaran yang dihadapi menerusi pelbagai usaha bagi memastikan produk agrikomoditi berdaya saing, selain penekanan terhadap aspek pembangunan dan pengkomersialan teknologi.

"Kementerian ini sentiasa komited dalam melaksanakan pelbagai kaedah dalam memodenkan peralatan dan kaedah penanaman dalam sektor sawit termasuk mempergiat promosi penggunaan mekanisasi dan automasi melalui Konsortium Penyelidikan Mekanisasi dan Automasi Sawit (MARCOP),” katanya.

Jelas beliau, kementerian berkenaan dan pihak industri turut membiayai MARCOP melalui geran padanan sebanyak RM60 juta secara keseluruhan pada 2021 dan sebanyak 23 permohonan telah diterima sehingga kini.

"Pada masa sama, dana berjumlah RM50 juta turut disediakan pada tahun ini melalui geran sepadan yang diumumkan semasa Belanjawan 2023 untuk mengalakkan automasi serta perladangan melalui penggunaan robotik dan kecerdasan buatan (AI),” katanya.

Mengenai menaik taraf pelaksanaan program biodiesel daripada B10 ke B30 seperti yang disasarkan dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12), Fadillah berkata, perluasan program berkenaan adalah tertakluk kepada ketersediaan infrastruktur di depoh-depoh yang terlibat dan akan mengambil masa sekurang-kurangnya tiga hingga empat tahun.

"Terdapat keperluan untuk menyemak semula sasaran tersebut dan ketika ini, program B10 dalam sektor pengangkutan adalah mandatori di Malaysia dan program B20 telah pun dilaksanakan di Langkawi, Labuan, Sarawak (kecuali Bintulu),” tambahnya.

Dalam RMK12, kerajaan menyasarkan pengenalan program biodiesel B30 menjelang 2025. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!