'Pengeluaran KWSP bersasar masih perlu' - Hamzah

Hamzah Zainudin
Hamzah Zainudin
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin menyatakan meskipun kerajaan berpendirian untuk tidak membenarkan pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara bersasar disebabkan faktor tertentu, namun perkara itu dilihat masih perlu.

Jelas beliau, ia kerana terdapat rakyat yang bergelut dengan kesusahan bagi meneruskan kelangsungan hidup.

“Ada menteri kata, kalau pencarum mati esok simpanan dan caruman dalam KWSP akan pergi kepada waris sebagai salah satu alasan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak membenarkan pengeluarannya secara bersasar.

“Betullah, tapi menteri takkan kita nak biarkan rakyat yang susah dan terhimpit untuk hidup itu mati dulu, sedangkan pengeluaran bersasar KWSP itu amat-amat membantu mereka?

“Semalam kami dah buktikan solidariti Perikatan Nasional (PN) bersama para pencarum. Kami dengar denyut nadi mereka, dengar suara hati mereka dan perjuangkan tuntutan mereka,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Selasa.

Sebelum ini, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, tujuan utama KWSP ditubuhkan adalah bagi memastikan mempunyai simpanan di hari tua.

Justeru, ia merupakan sebab kerajaan tidak membenarkan sebarang caruman dikeluarkan meskipun secara bersasar kerana ia bakal memberi impak terhadap masa hadapan tabungan.

Ujar beliau, dalam tempoh dua tahun lalu, sebanyak RM145 bilion caruman KWSP telah dibenarkan keluar oleh pentadbiran sebelum.

Tambah Rafizi, sekiranya dana tersebut berterusan menyusut, ia berisiko menghadkan keupayaan perbadanan berkenaan untuk mempelbagaikan dan mengukuhkan strategi pelaburan demi mendapat keuntungan yang lebih baik.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!