Ramai murid batuk akibat habuk projek pembinaan

Kesan debu dan habuk jelas kelihatan atas lantai kantin sekolah. Gambar kecil: Md Fakarudin Ab Rahman
Kesan debu dan habuk jelas kelihatan atas lantai kantin sekolah. Gambar kecil: Md Fakarudin Ab Rahman
A
A
A

NILAI - Lebih 50 murid Sekolah Kebangsaan(SK) Nilai Impian di sini mengalami batuk dipercayai berpunca daripada masalah debu dan habuk dari projek pembinaan utiliti infrastruktur perumahan di kawasan bersebelahan.

Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru SK Nilai Impian, Md Fakarudin Ab Rahman berkata, maklumat itu diperolehi hasil tinjauan yang dilakukan terhadap murid-murid dalam tempoh beberapa hari ini.

"Projek itu sebenarnya telah bermula dua tahun lalu. Tapi ketika itu ia tidaklah memberi kesan kerana anak-anak tak pergi sekolah seperti biasa lagi susulan Covid-19.

"Tapi apabila sesi persekolahan kembali dibuka sepenuhnya kita mula dapati ramai yang batuk dan kita percaya ia ada kaitan dengan projek bersebelahan sekolah," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Menurutnya, kesan debu dan habuk itu juga jelas kelihatan pada kenderaan, lantai, kerusi serta meja di kantin sekolah.

Ujarnya, PIBG telah pun membuat aduan kepada pihak pemaju untuk diambil tindakan namun malangnya ia kelihatan tidak serius.

Projek bersebelahan SK Nilai Impian didakwa hanya dipisahkan dengan kanvas yang dipasang pada pagar sekolah.
Projek bersebelahan SK Nilai Impian didakwa hanya dipisahkan dengan kanvas yang dipasang pada pagar sekolah.

"Hanya baru-baru ini saja pemaju ambil tindakan memasang kanvas bagi mengurangkan masalah debu dan habuk. Itu pun selepas terima notis daripada Majlis Bandaraya Seremban (MBS).

"Tapi agak mengecewakan apabila kanvas itu hanya disangkut pada pagar sekolah. Sepatutnya mereka menutup kawasan sekeliling projek dengan zink," katanya.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Gabungan Persatuan-Persatuan Penduduk Nilai Impian berkata, masalah itu turut memberi kesan kesihatan kepada penduduk di kawasan sekitar.

Katanya, mereka bukannya menolak pembangunan tetapi setiap pemaju sepatutnya lebih bertanggungjawab bagi memastikan projek yang sedang berjalan tidak menjejaskan orang lain.

"Orang dewasa mungkin tak terkesan sangat dengan isu debu dan habuk tetapi kanak-kanak lebih mudah berdepan masalah kesihatan.

"Kita tak tahu berapa lama projek ini mengambil masa untuk siap dan harapnya pihak pemaju lebih berhati-hati dan bertanggungjawab, “ katanya.

Malah beliau juga berharap pemaju dapat mengadakan perjumpaan dengan pihak sekolah dan penduduk setempat bagi menjelaskan tindakan yang akan diambil bagi menyelesaikan masalah itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!