Tun M beri lanjutan masa kepada Anwar

Dr Mahathir, Anwar Ibrahim
Dr Mahathir, Anwar Ibrahim
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad bersetuju untuk memberi lanjutan masa kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjawab notis tuntutannya berhubung kenyataan didakwa memfitnahnya pada Kongres Nasional Khas PKR 2023, dua minggu lalu.

Menerusi satu kenyataan pada Selasa, Tetuan Rafique bagi pihak bekas Perdana Menteri itu berkata, peguam Anwar dari Tetuan Thomas Phillip sebelum ini memohon masa sehingga 17 April ini untuk menjawab notis tuntutan berkenaan.

"Anak guam kami tiada halangan kepada permintaan itu, beliau juga merizabkan semua haknya dalam tuntutan ini," kata firma guaman tersebut.

Pada 28 Mac lalu, Sinar Harian melaporkan, Tun Mahathir memberi tempoh tujuh hari kepada Anwar untuk menarik balik tuduhan yang dilemparkan ke atasnya.

Walaupun Anwar tidak menamakan sesiapa di dalam ucapan tersebut, Tun Mahathir berkata, rakyat memahami ia ditujukan ke atas beliau apabila menyebut pemerintahan 22 tahun dan 22 bulan.

Justeru itu, beliau menuntut Anwar menarik balik kesemua kenyataan yang dikeluarkan terhadap anak guam dan membuat permohonan maaf tanpa syarat dan secara terbuka dengan akujanji dalam tempoh tujuh hari.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan ketika menyampaikan ucapan dasar pada kongres itu berkata, rakyat khususnya orang Melayu tidak perlu lagi diperbodohkan dengan kenyataan pemimpin tertentu yang mendakwa memperjuangkan hak kaum berkenaan, namun dalam masa sama membolot kekayaan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!