Polis rampas mercun seludup bernilai RM10,000 di Besut

Polis menahan dua lelaki tempatan serta merampas pelbagai jenis mercun dipercayai diseludup dari negara jiran dianggarkan bernilai RM10,000 dalam satu serbuan di Kampung Beris Cawat di Kuala Besut, Jertih Ahad lalu. - Gambar hiasan
Polis menahan dua lelaki tempatan serta merampas pelbagai jenis mercun dipercayai diseludup dari negara jiran dianggarkan bernilai RM10,000 dalam satu serbuan di Kampung Beris Cawat di Kuala Besut, Jertih Ahad lalu. - Gambar hiasan
A
A
A

JERTIH - Polis menahan dua lelaki tempatan serta merampas pelbagai jenis mercun dipercayai diseludup dari negara jiran dianggarkan bernilai RM10,000 dalam satu serbuan di Kampung Beris Cawat di Kuala Besut, dekat sini, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata, dalam operasi pada jam 9.30 pagi itu, polis menahan dua suspek berusia 24 dan 34 tahun bagi membantu siasatan.

"Sebelum itu, sepasukan anggota dari Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 terserempak dengan sebuah kereta Proton Exora di bandar baharu Tanah Merah, Kelantan dalam keadaan mencurigakan.

"Pasukan berkenaan bertindak mengekori kereta suspek sehingga ke Kampung Beris Cawat dan kemudian mendapati suspek sedang memindahkan mercun daripada kereta ke dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut, di sini, pada Selasa.

Beliau berkata, sebaik memperkenalkan diri, suspek cuba melarikan diri namun kedua-dua mereka berjaya diberkas dan hasil pemeriksaan menemukan 14 jenis mercun dalam dua kenderaan itu.

"Siasatan awal mendapati suspek bertindak sebagai pembawa, mengambil mercun yang dipercayai diseludup dari negara jiran itu di sempadan, kemudian dibawa ke Besut untuk dipindahkan ke kenderaan lain sebelum dipasarkan di sekitar Kuala Terengganu," katanya. -- Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!