Jururawat rugi RM207,000 angkara sindiket penipuan

Muhamad Zaki (kanan) menyampaikan sumbangan bubur lambuk kepada Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kelantan, Superintendan Ahmad Azizul Mohamed.
Muhamad Zaki (kanan) menyampaikan sumbangan bubur lambuk kepada Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kelantan, Superintendan Ahmad Azizul Mohamed.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang jururawat mengalami kerugian RM207,000 dalam tempoh penghujung November tahun lalu sehingga 1 April lalu angkara sindiket penipuan dalam talian yang menyamar sebagai anggota polis.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, wanita yang berusia 40-an itu pada awalnya menerima panggilan telefon ketika berada di tempat kerjanya.

Menurutnya, pemanggil menyatakan mangsa membuat tuntutan insurans selama tiga bulan dan dinafikan oleh wanita itu sebelum diarahkan untuk membuat laporan di Balai Polis Ampang dalam tempoh 24 jam.

“Dia kemudiannya menerima panggilan telefon daripada suspek yang memperkenalkan diri sebagai Inspektor Faridah menyatakan mangsa mempunyai waran tangkap dan waran pembekuan harta kerana terbabit dengan kes jenayah.

“Mangsa diarahkan hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang bagi siasatan, namun diberi pilihan bahawa pihak polis akan menjalankan siasatan melalui panggilan telefon sahaja,” katanya ketika ditemui pada Program Agihan Bubur Lambuk kepada 680 kakitangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan pada Selasa.

Dalam pada itu, Muhamad Zaki berkata, pada hujung November tahun lalu, wanita itu pergi ke sebuah bank untuk membuat akaun baharu seperti diarahkan suspek bagi tujuan siasatan ke atas wang yang dimiliki mangsa.

“Mangsa diarahkan untuk mendaftarkan nombor telefon yang dimiliki suspek ketika membuka akaun bank itu.

“Sehingga Februari lalu, mangsa membuat pindahan wang dari akaun bank lain ke akaun bank baharu bagi tujuan jaminan diri termasuk dua pinjaman bank yang dibuat dalam tempoh sebulan berjumlah RM148,000,” katanya.

Beliau berkata, mangsa diarahkan supaya tidak membuat semakan ke atas akaun bank sepanjang tempoh siasatan.

“Pada jam 6 petang, 1 April lalu, mangsa membuat pemeriksaan akaun dan mendapati wang berjumlah RM207,000 tiada dalam simpanan seterusnya membuat laporan polis,” katanya.

Tambah beliau, kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!